Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin: Rakan strategik MAS diputuskan awal 2020
Diterbitkan:  Oct 22, 2019 4:06 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

PARLIMEN | Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, berkata Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) menyenarai pendek empat calon sebagai rakan strategik buat Malaysia Airlines Berhad (MAS).

"Khazanah dan MAGB telah mempelawa 20 pelabur yang berpotensi untuk menjadi rakan strategik MAS.

"Melalui proses ini, Khazanah dan MAGB telah menyenarai pendekkan empat pelabur strategik untuk dinilai dengan ketat dan teliti.

"Kami menjangkakan hujung tahun ini atau awal 2020, satu keputusan akan dibuat untuk mengenal pasti rakan strategik untuk menguatkan MAS," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan itu diberi Azmin bagi menjawab soalan Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) yang bertanya kesahihan sama ada Jepun bakal mengambil alih MAS atau tidak.

Bagaimanapun, kerajaan terikat dengan perjanjian untuk tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Justeru, kata Azmin, beliau tidak dapat memberikan dan mendedahkan maklumat terperinci mengenai pelabur-pelabur strategik yang sedang melalui proses berkenaan.

Walaupun berlaku peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh MAS baru-baru ini, beliau menegaskan masih ada keperluan untuk menilai kembali model bisnes yang diamalkan oleh syarikat penerbangan itu secara lebih meluas.

Katanya, hal itu termasuklah mengenal pasti rakan strategik yang boleh membentuk usaha sama yang padu dan menguntungkan MAS dalam jangka masa panjang.

Lihat Komen
ADS