Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang bapa kepada anak penghidap penyakit autoimun meminta bantuan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menyelesaikan masalah kerakyatan anaknya.

Chok Hing Yip, 42, berkata beliau terpaksa menanggung kos perubatan lebih tinggi anaknya YT Chok yang turut dikenali sebagai Belle kerana taraf itu.

"Saya meminta Menteri Dalam Negeri YB Muhyiddin Yassin segera mendapatkan satu penyelesaian bagi isu taraf warganegara anak saya," katanya lagi.

Chok berkata, hasil bantuan menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalannya Dr Lee Boon Chye, buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kelonggaran bayaran padanya.

"Tapi, rawatan percuma hanya boleh sehingga anak saya mencecah 13 tahun.

“Dan tahun depan (September 2020) dia akan berusia 13 tahun dan rawatan percuma ini tidak diberikan lagi," katanya sambil menambah anaknya masih perlu menjalani rawatan bagi tempoh yang panjang.

Hing Yip ialah warganegara Malaysia manakala bekas isterinya warganegara Thailand.

Menurutnya, beliau kahwin isterinya secara tradisional dan tidak sempat mendaftar perkahwinannya kerana kedua-duanya berpisah.

Muhyiddin Yassin 

Belle, menurut Hing Yip, menghadapi penyakit autoimun (systemic lupus erythematosus) - sejenis penyakit yang serius membawa komplikasi buah pinggang, otak, sendi, kulit dan pelbagai organ dalaman.

"Setiap kali anak saya dibawa ke hospital, saya terpaksa membayar yuran yang tinggi kerana dia bukan warganegara. Setiap kali bayarannya tidak kurang RM600 hingga RM800.

"Bayangkan dalam setahun saya membawa dia ke hospital hampir 15 kali. Ini tidak termasuk kalau dia diwadkan. Setiap hari ubat yang dia ambil sudah mencecah RM50," tambahnya.

Hing Yip yang berkerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta berkata permohonannya untuk mendapatkan MyKid kepada anaknya ditolak sebanyak dua kali.

"Saya mohon pada tahun 2016. Namun, ditolak. Saya sekali lagi memohon pada tahun 2018. Sekali lagi ditolak juga dan kami tidak diberitahu alasan penolakan tersebut," katanya.

Mengikut surat rasmi Jabatan Pendafaran Negara (JPN) bertarikh 13 Mei 2016, Bella dinafikan hak taraf warganegara bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Malaysiakini sedang menghubungi KDN untuk mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS