Malaysiakini BERITA

Peguam fail usul cabar kedudukan sekolah vernakular

Shakira Buang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang peguam hari ini memfailkan notis usul untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan permohonan menerusi firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Notis usul itu menamakan Menteri Pendidikan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Shaharudin Ali yang mewakili plaintif berkata Parlimen tiada kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang berkaitan dengan sekolah jenis kebangsaan.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai 1982 dalam kes penubuhan Universiti Merdeka sebagai asas kepada permohonannya.

“Keputusan mahkamah itu mengatakan hal-hal bersangkutan dengan pelajaran dan pendidikan bagi maksud rasmi maka jelas Perkara 152 hendaklah digunakan.

“Kalau sekolah rendah jenis Melayu tidak wujud, bagaimana sekolah rendah jenis Cina dan Tamil boleh wujud. Jadi itu persoalan undang-undang yang kita akan cuba hujahkan di mahkamah kelak,” katanya.

Menurut Shaharudin, Parlimen tiada kuasa untuk membolehkan menteri pendidikan dalam soal penubuhan Sekolah Rendah Jenis Cina (SKJC) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (SKJT).

Katanya lagi, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan menteri pendidikan tiada kuasa untuk berbuat demikian.

"Permohonan ini ialah untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan, sama ada Parlimen ada kuasa untuk membuat Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Putrajaya.

Akta Pendidikan 1996 diluluskan pada tahun itu untuk meminda Ordinan Pendidikan 1957 dan Akta Pendidikan 1961.

Seksyen 17(1) menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.

Seksyen 17(2) pula menyatakan jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.

Seksyen 28 pula berkenaan penubuhan dan penyenggaraan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Ia menyatakan, "tertakluk kepada peruntukan akta ini, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula berkenaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan merupakan tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang dalam Parlimen.

Seterusnya, Perkara 152 (1)(a) menyatakan tiada siapa yang boleh dilarang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain. Perkara 152(1) (b) pula berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri boleh meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam persekutuan.

'Bukan kerana perkauman'

Sementara itu, Khairul Azam menolak tanggapan tindakannya memfailkan notis usul itu atas dasar perkauman.

“Ini bukan isu perkauman tetapi isu undang-undang dan perlembagaan.

“Kita failkan secara perundangan di mahkamah. Kita failkan juga di mahkamah tertinggi negara, di Mahkamah Persekutuan di bawah perkara 4(4) Perlembagan Persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, beliau membuat permohonan itu susulan pengumuman Belanjawan 2020 yang memperuntukkan RM127 kepada sekolah vernakular.

"Selaku rakyat yang membayar cukai, kita berhak untuk pastikan kerajaan membelanjakan duit rakyat ke institusi yang dibenarkan perlembagaan dan undang-undang.

“Kalau insitusi ini tidak sah di sisi undang-undang, maka duit rakyat tidak sewajarnya disalurkan kepada institusi berkenaan,” katanya.