Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
J'kuasa parlimen dapatkan pandangan awam berkenaan RUU IPCMC

Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang akan mendapatkan maklum balas awam untuk penambahbaikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Pengerusinya Ramkarpal Singh mengumumkan jawatankuasa itu akan mengadakan empat sesi rundingan awam di Johor, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.

"Kami mengundang semua pemegang taruh untuk hadir, sama ada mereka menyokong atau membantah IPCMC, untuk menyatakan cadangan mereka. Kami akan mengambil kira semua pandangan.

"Itu tugas kami pada tahap ini, untuk mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat untuk dimuatkan dalam laporan dalam masa sebulan," katanya.

Katanya lagi, pada minggu lalu jawatankuasa itu menerima maklum balas daripada polis, NGO dan ahli akademik.

RUU IPCMC 2019 dibentangkan pada Julai lalu.

Susulan maklum balas awam, kerajaan berhasrat membuat beberapa pindaan pada RUU itu di peringkat jawatankuasa, tetapi menerima bantahan daripada pembangkang.

Menurut mereka, jika kerajaan mahu membuat banyak perubahan , ia sepatutnya terlebih dahulu melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang.

Susulan itu, Dewan Rakyat pada 14 Oktober lalu meluluskan usul untuk merujuk RUU itu kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen.

Ramkarpal berkata, pihaknya ditugaskan untuk memberikan syor kepada Dewan Rakyat paling lewat 18 November ini.

Maklumat lanjut berkenaan sesi rundingan awam boleh didapati di sini.


Lihat Komen
ADS