Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan kumpulan perompak bersenjata larikan 52 kambing

Polis menahan enam lelaki dan masih memburu dua lagi rakan mereka kerana terlibat dalam kes rompakan berkumpulan dan bersenjata serta melarikan 52 ekor kambing susu bernilai RM50,000 daripada sebuah kandang di Jalan Mengkuang Keretapi, di Bukit Mertajam Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata empat lelaki berusia 19 hingga 61 itu ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth dan Bukit Mertajam, serta Padang Serai, Kedah bermula pukul 11 malam tadi hingga 8 pagi hari ini.

"Dalam kejadian pukul 1.20 pagi itu, pemilik kambing berusia 34 tahun menyedari kehilangan haiwan peliharaannya selepas dihubungi penduduk kampung, manakala empat pekerja warga Myanmar yang menjaga di situ turut diikat serta dicederakan oleh suspek," katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Katanya maklumat yang diperolehi dari pekerja-pekerja itu mengatakan sekurang-kurangnya lima lelaki lengkap bertopeng dan bersenjatakan parang telah masuk ke dalam rumah pekerja yang terletak dalam kawasan kandang kambing sebelum mengarahkan semua diam serta mengikat mereka.

Menurutnya suspek kemudiannya masuk ke dalam kandang dan melarikan semua kambing dengan menggunakan sebuah lori.

Nik Ros Azhan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan lelaki pertama di Pantai Bersih, Butterworth sebelum menyerbu empat lokasi lain dan menahan lima lelaki yang masing-masing mempunyai peranan dalam kejadian tersebut antara pemilik lori, pembeli dan penjaga kambing.

"Siasatan awal mendapati mereka mencuri (mengambil) kambing tersebut dan menjual kepada seorang peniaga yang juga pembekal kambing di sebuah pasar di Kulim, Kedah dan perancangan jenayah itu dibuat oleh lelaki yang berusia 61 tahun berkenaan yang merupakan dalang utama," katanya.

Katanya peniaga kambing berusia 26 tahun yang turut ditahan menjanjikan bayaran RM15,000 hingga RM20,000 hasil jualan setelah semua kambing yang dirompak itu dijual, malah dia turut memberikan deposit sebanyak RM4,000 kepada dalang utama kejadian tersebut.

Beliau berkata siasatan juga mendapati peniaga kambing itu mula menjual kambing yang dirompak iaitu sehari selepas kejadian iaitu pada hari Ahad dan sehingga semalam 42 ekor kambing telah disembelih serta berjaya dijual dengan hasil jualan RM20,000 hingga RM30,000.

"Harga pasaran yg dijual peniaga itu ialah RM42 sekilogram daging kambing dan susulan penahanan semua mereka, polis turut merampas 10 ekor kambing yang belum disembelih, sebuah kereta jenis Toyota Hilux, telefon bimbit serta wang tunai RM700," katanya.

Menurutnya enam lelaki termasuk dalang utama yang mempunyai empat rekod lampau itu direman selama tujuh hari dan kes berkenaan di siasat menurut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Dua lagi lelaki yang identiti telah dikenal pasti itu kini diburu dan polis percaya mereka berada di sekitar Kulim dan Padang Serai," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS