Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zunar bantah pengharaman komik BRI
Diterbitkan:  Oct 24, 2019 11:40 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Kartunis terkenal, Zunar menyuarakan bantahannya terhadap pengharaman komik kontroversi 'Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)’ yang dihasilkan oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan Malaysia-China, Hew Kuan Yau.

“Sampai hari ini, saya belum baca lagi keseluruhan komik itu. Saya cuma dengar riuh-rendah daripada menteri, institusi kerajaan dan parti politik, tanpa mereka tunjuk secara spesifik muka surat mana dan subjek mana yang mereka tak bersetuju itu.

“Saya nak tegaskan, saya sendiri mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan kandungan komik itu, tapi saya sangat-sangat membantah pengharamannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, komik dan kartun adalah bergantung pada interpretasi pembaca, justeru bukanlah menjadi masalah jika seseorang tidak bersetuju dengan kandungan sesuatu komik, namun ia tidak patut dijadikan asas untuk mengharamkan komik tersebut.

“Tak suka? Jangan baca!” kata pemilik nama sebenar Zulkiflee SM Anwarul Haque, yang banyak bukunya diharamkan di era pentadbiran BN.

Bagaimanapun, kartunis itu menyatakan dia juga tidak bersetuju komik itu disebarkan ke sekolah-sekolah.

Tambahnya lagi, jika ada mana-mana pihak merasakan komik itu berunsur fitnah dan menghasut, mereka boleh memfailkan saman sivil di mahkamah, tanpa perlu mengenakan “pengharaman total” ke atas komik tersebut.

Dengan cara itu, katanya, kartunis dapat diberikan peluang mempertahankan diri, seperti yang berlaku pada 2014 apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk membatalkan larangan terhadap bukunya.

“Ini (saman) adalah pendekatan yang lebih baik berbanding pengharaman terang-terangan yang dibuat atas asas memudaratkan ketenteraman awam- yang tidak masuk akal,” katanya lagi.

Sementara itu, presiden PAS Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas pendirian tegas untuk mengharamkan komik BRI tersebut.

“Kita perlu menolak budaya politik 'makhluk perosak' yang boleh menggugat keharmonian negara, dan kerajaan perlu bertegas untuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang melampaui batas ini.

“Sekolah juga perlu diselamatkan daripada menjadi mangsa penyebaran dakyah yang boleh merosakkan pemikiran generasi muda, serta menghakis nilai hormat dan perpaduan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan Facebook hari ini.

Semalam, KDN mengumumkan pengharaman komik Hew yang juga merupakan bekas ahli DAP, atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Pengharaman itu dikenakan terhadap ketiga-tiga versi komik itu- bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Kontroversi timbul apabila komik itu dikatakan diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini secara percuma.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan kementeriannya pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya, dan sudah memberi arahan agar buku itu tidak diedarkan di sekolah.

KPM juga dilaporkan sedang menyiasat tentang penyebaran komik yang diterbitkan oleh kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia dengan kerjasama artis tempatan Chong Po Ling.

Hew, yang dikenali dengan jolokan nama “Superman”, berkata komiknya itu adalah bagi menggalakkan pelajar sekolah untuk lebih mempelajari tentang BRI oleh China.

Selain BRI, komik itu turut menyentuh tentan beberapa isu panas lain termasuklah kaum Uyghur di China.

Dia turut berkata bahawa sesalinan komik itu dihadiahkan kepada presiden China Xi Jinping oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada April lalu.

Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun menafikan memainkan peranan dalam pemberian komik itu kepada Xi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS