Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu sawit: Menteri luar Malaysia, India adakan pertemuan di Azerbaijan

Menteri Luar Malaysia dan India mengadakan pertemuan mesra di ibu negara Azerbaijan pada malam Rabu, semasa media berterusan melaporkan apa yang dianggap mereka sebagai satu isu berkaitan minyak sawit antara dua negara.

Pertemuan Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Luar India S Jaishankar di luar Mesyuarat peringkat Menteri Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), dan kedua-dua pihak menulis mengenai pertemuan itu dalam catatan media sosial masing-masing.

Wisma Putra dalam catatan Facebook menulis: ​​​​​​​Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengadakan pertemuan dua hala dengan S Jaishankar, Menteri Hal Ehwal Luar India, di luar Sidang Kemuncak Ke-18#NAM pada 23 Oktober 2019.

Jaishankar menerusinya twit: "Berbual secara terang dan terbuka dengan rakan sejawatan dari Malaysia @saifuddinabd berhubung isu-isu berbangkit.”

Baru-baru ini, susulan kenyataan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mengenai konflik Kashmir, sebuah persatuan perdagangan India menasihatkan anggotanya supaya tidak membeli minyak sawit dari Malaysia.

Malaysia mengeksport minyak sawit bernilai AS$1.65 bilion (RM6.9 bilion) ke India pada tahun 2018, dan India yang merupakan pengimport minyak sayuran terbesar dunia, bergantung kepada Indonesia dan Malaysia untuk bekalan minyak sawitnya.

Pada 5 Ogos lepas kerajaan India membatalkan status autonomi perundangan Kashmir dan mengenakan banyak langkah-langkah keselamatan baharu, termasuk menghentikan perkhidmatan internet dan telefon, bagi menghalang protes di wilayah itu.

Dr Mahathir, dalam ucpannya di sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan berkata “Walaupun dengan resolusi PBB berhubung Jammu dan Kashmir, negara itu telah ditawan dan diduduki”, di samping beliau menggesa India untuk “bekerjasama dengan Pakistan bagi menangani masalah itu.

Dr Mahathir tiba di Baku pada Khamis untuk menghadiri Sidang Kemuncak NAM ke-18.

- Bernama

Lihat Komen
ADS