Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan cadang guna kapal layar eletrik di Sungai Melaka - KM
Diterbitkan:  Oct 25, 2019 8:36 AM
Dikemaskini: 12:36 AM

Kerajaan negeri bercadang untuk menggunakan kapal layar elektrik dalam operasi Melaka River Cruise bagi mengurangkan pencemaran sungai itu pada masa depan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata inisiatif itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri ke arah negeri hijau dan pintar menjelang 2030.

"Sungai Melaka mempunyai beberapa segmen atau peranan penting khususnya sebagai sumber air di kawasan hulu sungai selain sebagai destinasi pelancongan bagi aktiviti 'cruise' di kawasan hilir sungai.

"Pembangunan memberi kesan kepada Sungai Melaka yang menyebabkan berlaku pencemaran di hilir sungai kesan aktiviti 'cruise' yang menggunakan petrol sekali gus mengeluarkan asap," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pada sesi pendengaran awam berhubung siasatan punca pencemaran Sungai Melaka di Mahkamah Majistret Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Melaka, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan penambahbaikan sungai itu oleh ahli Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (Melcat), Roslan Ahmad (BN-Merlimau).

Adly antara saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan isu pencemaran Sungai Melaka selain Jabatan Alam Sekitar ialah Indah Water Konsortium, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, MBMB, Syarikat Air Melaka Berhad, Badan Kawal Selia Air Melaka dan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara.

Beliau juga berkata Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka ( SCAC) memainkan peranan membantu menambah baik kualiti Sungai Melaka menerusi kajian dan penilaian yang lebih spesifik dengan kerjasama pihak universiti.

Dalam pada itu, beliau berkata isu pencemaran Sungai Melaka yang mengakibatkan ribuan ikan mati dan air bertukar warna hitam dan berbau busuk disebabkan pertembungan air tawar dari sungai itu dan air masin dari laut terutama pada musim tengkujuh.

Beliau berkata konklusi itu dimaklumkan Jabatan Alam Sekitar dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka sebelum ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS