Presiden PKR Anwar Ibrahim percaya bahawa pelan peralihan kuasa perdana menteri yang dijanjikan sebelum ini akan tetap berlaku meskipun ada orang yang “bermimpi” hendak memotong laluannya sebagai pengganti perdana menteri.

Dalam temu bual bersama media Turki, TRT World, dia disoal tentang dakwaan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga timbalannya dalam PKR, Azmin Ali, juga berhajat hendak menjadi perdana menteri.

“Bukan kesalahan kalau sesiapa berhajat nak jadi perdana menteri, tapi dia kenalah dapat sokongan majoriti.

“Saya rasa buat masa sekarang, setakat mesyuarat minggu lalu di kalangan pemimpin parti, tak timbul nama lain (sebagai pengganti PM).

“Orang boleh bermimpi, boleh berhajat, tapi itu tak bermakna kamu mampu menggoyahkan atau mengaramkan proses itu (peralihan kuasa). Lebih-lebih lagi, ia telah dipersetujui dan ditandatangani, jadi kamu kenalah putar balik proses ini.

“Tiada cubaan atau usaha seumpama itu,” jawab Anwar.

Disoal sama ada Azmin sendiri ada menyuarakan keinginannya untuk menjadi PM, Anwar menafikannya.

“Spekulasi itu datang daripada sebahagian kem dia (Azmin), sebahagian penyokong, tapi ia tak ganggu kami daripada tugas utama untuk membina ekonomi [...],” katanya.

Anggota parlimen Port Dickson itu menegaskan bahawa dia tidak menaruh rasa curiga terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan persetujuan PH dan menyerahkan baton kepemimpinan negara kepadanya.

Sejak kebelakangan ini, Azmin didakwa sebagai sebahagian watak yang menggerakkan plot untuk membina kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah. Plot itu bertujuan memastikan Mahathir dapat menghabiskan penggal lima tahun sebagai PM, berbanding menyerahkan jawatan kepada Anwar di pertengahan penggal.

Minggu ini, Azmin secara terbuka menyokong Mahathir untuk menghabiskan penggal sebagai PM. Dia menggelar mereka yang cuba mengambil-alih sebelum habis penggal kerajaan sekarang sebagai cuba membentuk "kerajaan pintu belakang".