Ahli parlimen DAP Charles Santiago menggesa majlis presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menasihatkan kerajaan agar memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan.

Ahli Parlimen Klang itu juga berkata dia berasa malu apabila ditanya sama ada PH tidak berani mengambil pendirian.

"Kepimpinan PH, adakah anda tahu apa yang dikatakan rakyat Malaysia?

"Mereka mempersoalkan sama ada kita lemah, ikut rentak beberapa orang tuan, untuk mengatakan bahawa pentadbiran kita dalam keadaan teruk.

"Tahap kemarahan dalam suara mereka menyebabkan saya berasa malu kerana soalan yang mereka tanyakan wajar," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Penggunaan Sosma, kata Charles, adalah isu bagi majoriti yang kini mengancam untuk tidak mengundi gabungan itu dalam pilihan raya akan datang.

Charles juga menyatakan kekecewaan kerana gesaan beberapa ahli politik PH untuk memansuhkan undang-undang itu tidak dihiraukan.

"Oleh itu, satu-satunya alternatif lain adalah dengan majlis presiden PH untuk memberi nasihat kepada kerajaan untuk memansuhkan Sosma. Sekiranya tidak, sikap berdiam diri akan dilihat sebagai kelemahan.

"Kita berjanji untuk melakukannya dalam manifesto pilihan raya. Jadi apa yang menghalang kita daripada menunaikan janji kita?" katanya.

Kerajaan sebelum ini berkata PH hanya berjanji untuk memansuhkan peruntukan tertentu dalam undang-undang dalam manifestonya.

Awal bulan ini, polis menahan beberapa individu, dua ahli DAP, di bawah Sosma atas tuduhan mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan polis mempunyai alasan yang sah untuk berbuat demikian.

[Baca berita penuh]