Paling Popular
Terkini

Spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan Melaka bakal tumbang dengan dua anggota exco negeri dilaporkan bekerjasama dengan Umno untuk membentuk pentadbiran baru.

Pada sidang akhbar petang tadi, Ketua Menteri Adly Zahari menafikan perkara itu.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan kerajaan negeri dan kepimpinan PH memberitahu Malaysiakini bahawa spekulasi dan ancaman itu mungkin ada dalilnya.

Semua jari tertuding kepada pemimpin Bersatu Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen dan Noor Effandi Ahmad.

Ketika dihubungi, Rafiq, yang juga adalah timbalan ketua Bersatu Melaka, menafikan dakwaan itu.

Walau bagaimanapun, beliau dan 13 Adun PH Melaka yang lain, hari ini mengeluarkan kenyataan bersama yang menyuarakan sokongan kepada Adly.

"Bagi pihak Bersatu Melaka, saya boleh sahkan tiada rancangan seperti itu oleh mana-mana exco negeri dari Bersatu untuk melancarkan undi tidak percaya terhadap ketua menteri.

"Tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak exco parti lain, itu kamu kenya tanya ketua parti masing-masing," katanya kepada Malaysiakini.

Effandi belum menjawab permintaan kami untuk ulasannya.

“Kami menolak sebarang tindakan yang memperlekehkan mandat rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi melalui pilihanraya.

“Fokus kerajaan negeri adalah menggalas amanah rakyat dengan program dan dasar yang progresif, inklusif dan inovatif bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri.

“Kami memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada YAB Ketua Menteri Adly Zahari untuk terus memimpin negeri Melaka bagi melaksanakan janji Pakatan Harapan,” kata mereka.

Susulan pilihan raya lalu, Harapan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua tempat kerusi sahaja. Gabungan itu mempunyai 15 kerusi (DAP - 8, PKR - 3, Amanah - 2, Bersatu - 2) manakala BN mempunyai 13 kerusi.

Dengan hanya seorang wakil rakyat dari PH yang membelot DUN Melaka akan menjadi tergantung.

 

Rafiq mengetuai salah satu daripada dua kumpulan dalam Bersatu Melaka, dengan satu lagi diketuai oleh pengerusi negeri Mohd Redzuan Yusof, yang juga adalah menteri pembangunan keusahawanan.

Walaupun tidak sehaluan, kedua-dua mereka dikatakan menyokong pengerusi Bersatu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS