Tidak lama selepas umat Islam menunaikan solat Jumaat di seluruh negara, pemimpin Syiah Malaysia, Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz menyuarakan rasa terima kasihnya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Ini kerana menurutnya, masjid di kejiranan rumahnya di Gombak tidak menyebut bahagian anti-Syiah ketika membaca doa dalam khutbah solat Jumaat tengah hari tadi.

“Terima kasih Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) kerana tiada doa terhadap Muslim Syiah minggu ini.

“Insha-Allah, Malaysia yang tercinta ini akan menjadi lebih aman tanpa ucapan kebencian antara rakyat, dan kafir-mengkafir antara Muslim,” katanya dalam hantaran Facebook.

Bagaimanapun, carian Malaysiakini mendapati teks khutbah Jumaat berjudul ‘Merancang Harta Pusaka Mengukuh Silaturrahim’ tadi masih ada menyebut ‘Syiah’ dalam doa yang meminta ketetapan iman kepada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

"Kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman dan pegangan kami kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, peliharalah kami daripada ajaran yang terkeluar daripada Islam seperti Ahmadiah atau Qadyani dan ajaran-ajaran yang difatwakan sesat seperti Syiah dan gerakan militan Daesh,” kata teks itu.

Kali terakhir nama Syiah tidak disebut dalam khutbah itu ialah pada 11 Oktober, apabila Hizbut Tahrir disebut menggantikan Syiah dalam bahagian yang menyebut “ajaran-ajaran yang difatwakan sesat”.

Pemeriksaan Malaysiakini dalam teks khutbah Jumaat Jais sejak September turut mendapati nama kumpulan “ajaran yang terkeluar dari Islam” dan yang “difatwakan sesat” tidak tetap setiap minggu.

Sebaliknya, ia disebut secara bergilir-gilir, namun yang paling kerap disebut ialah ajaran Qadyani, Ahmadiah (ajaran yang terkeluar) dan Syiah (ajaran sesat).

Antara ajaran lain yang disebut secara bergilir-gilir dalam bahagian ajaran sesat ialah gerakan militan Daesh, Millah Abraham dan Hizbut Tahrir.