97, termasuk 19 remaja ditahan berpesta liar
Seramai 19 remaja bawah umur termasuk lapan perempuan antara 97 orang yang ditahan polis sedang berpesta liar dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Bandar Perai Jaya, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata pihaknya menyerbu pusat hiburan itu kira-kira pukul 3.00 pagi hasil maklumat awam dan risikan terdapat aktiviti tidak bermoral di premis tersebut sebelum menahan 97 orang termasuk 23 wanita.
"Dalam serbuan itu, kesemua mereka berusia antara 15 dan 30 tahun ditemui sedang leka berpesta di dalam dua bilik khas yang disediakan di pusat hiburan terkenal di kalangan pelajar dan remaja bawah umur di daerah ini," katanya dalam kenyataan, di Bukit Mertajam hari ini.
Katanya hasil ujian air kencing mendapati 16 lelaki dan 11 wanita daripada mereka yang ditahan positif dadah.
Menurutnya, pemeriksaan dalam dua bilik itu polis turut menemui ketamin seberat 3.8 gram dan pil ekstasi sebanyak 13 biji.
Nik Ros Azhan berkata siasatan awal polis percaya, pesta liar itu dianjur oleh seorang lelaki dan remaja perempuan masing-masing berusia 27 serta 18 tahun dan mereka menjemput rakan-rakan menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial.
"Penganjur mengenakan bayaran RM40 bagi setiap orang yang mahu hadir berpesta di situ sehingga pukul 6 pagi ini," katanya .
Beliau berkata semua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan dan pusat hiburan itu juga akan dikenakan tindakan langgar syarat dan jalankan perniagaan lebih masa.
- Bernama

