Tindakan penganalisis dasar awam Dr Lim Teck Ghee menyifatkan Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH) sebagai bencana tidak terkawal (unmitigated disaster) dianggap tindakan tidak bermaruah.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamarudin berkata kenyatann itu dibuat tanpa pertimbangan bahawa kerajaan baru saja mengambil tampuk pentadbiran selama satu tahun 5 bulan daripada kerajaan BN.

"Saya dan rakan-rakan menteri, di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak diberikan amanah, bekerja kuat tanpa mengenal erti lelah demi satu matlamat, iaitu mahu memulihkan negara," kata Zuraida.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Teck Gee bahawa kekecewaan terhadap kerajaan pada hari ini semakin meluas.

"Pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kegagalan daripada Icerd, Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi. Senarai kekecewaan dan kegagalan politik terus meningkat," kata Teck.

Zuraida bagaimanapun berkata pelbagai usaha sudah dilakukan sejak PH diberikan mandat oleh rakyat untuk memperbaiki dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah kembal.

Namun katanya tugas itu tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata.

"Berbanding dengan kerosakan dibuat pentadbiran terdahulu, adalah tidak wajar seorang penganalisis dasar awam mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang kajian kukuh, menjadikan pandangannya sebagai pandangan tidak boleh diguna pakai.

"Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, pihak Kerajaan Persekutuan sudah memberi jaminan bahawa keharmonian dan kedudukan agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu akan terus terbela, tanpa mengabaikan kedudukan kaum-kaum lain di seluruh negara," katanya.