Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid minta PAS 'fikir-fikirkan' serap Umno dalam k'jaan T'ganu
Diterbitkan:  Oct 26, 2019 1:41 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi secara berkias menyatakan harapan agar wakil rakyat mereka diberi ruang untuk berada dalam kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS.

Zahid berkata, dengan cara itu kerajaan negeri Terengganu boleh belajar melalui pengalaman yang dimiliki oleh pemimpin Umno termasuklah dua bekas menteri besar Terengganu yang masih lagi bergelar wakil rakyat.

"Kita tak mengenakan syarat setakat ini, tetapi atas nama Muafakat Nasional, ada ubi tentu ada batas, kita tak menuntut, tapi menanam ubi mestilah ubi itu berisi.

"Tak menuntut juga, jika ada atas nama kemuafakatan jika rasa ada kebersamaan, mungkin boleh diperlihatkan komposisi kerajaan negeri kelak.

"Boleh diberi pertimbangan untuk belajar pengalaman daripada Tok Mad Said (Ahmad Said), belajar daripada Tok Mad Razif (Ahmad Razif Abdul Rahman), belajar daripada mantan-mantan exco yang masih menjadi Adun, insya-Allah kita berkongsi pengalaman untuk mentadbir kerajaan negeri dengan lebih mantap.

"Itu bukan desakan...bukan syarat, bukan suruh pertimbangkan, tapi fikir-fikirkanlah," katanya ketika berucap pada Konvensyen Umno Negeri Terengganu, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said dan saf kepimpinan Umno pusat.

Ucapan Zahid disiarkan secara langsung di media sosial Facebook.

Umno dan PAS menjalinkan kerjasama politik selepas BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Melalui Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sep lalu, Umno dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional sebagai tanda kerjasama rasmi dua parti politik dominan orang Melayu itu.

Selepas memeterai piagam PAS dan Umno, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberitahu PAS mempunyai rancangan untuk memasukkan Umno menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

Meskipun merasakan ia masih berada dalam peringkat awal, beliau tidak menolak rancangan tersebut kerana menganggap Umno kini sebahagian daripada keluarga PAS.

Saranan Abdul Hadi disahut Menteri Besar Perlis Azlan Man pada keesokannya apabila menyatakan kesediaan untuk membentuk kerajaan campuran Umno dan PAS di negeri itu.

Namun katanya, satu keputusan secara dasar oleh kedua-dua parti di peringkat tertinggi perlu dibuat bagi tujuan tersebut.

Zahid berkata kesediaan ketua pembangkang di DUN Kelantan, Mad Alwi Che Ahmad meletakkan jawatan adalah pengiktirafan kepada kerajaan PAS Kelantan.

Situasi sama boleh berlaku di Terengganu yang mana Umno mempunyai 10 wakil rakyat dan sedia berada di barisan pihak kerajaan.

Sementara itu, Ahmad yang juga bekas menteri besar Terengganu yakin kerjasama Umno dan PAS berupaya menguasai 30 kerusi Parlimen di negeri itu.

"Ada 30 kerusi parlimen yang boleh kita menang dengan mudah dengan adanya perpaduan Umno dan PAS, yang boleh kita rampas kembali dalam PRU yang akan datang.

"Sabah dan Sarawak bukan ancaman kepada kita, kerana Sabah dan Sarawak kalau kita menang, automatik akan kembali kepada kita," katanya.

Lihat Komen
ADS