Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hasrat M'sia buka kedutaan untuk Palestin disambut baik
Diterbitkan:  Oct 26, 2019 2:04 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Menteri Luar Palestin Riyadh al Maliki menyambut baik hasrat Malaysia membuka kedutaan untuk Palestin yang akan beroperasi sementara di Jordan.

Memetik laporan agensi berita Turki Anadolu, menteri itu berkata pihaknya sudah menerima surat rasmi yang mengesahkan perkara tersebut.

“Sebagai balasan, kami mengalu-alukan hasrat Malaysia membuka kedutaan untuk Palestin yang beroperasi sementara di Jordan. Pendekatan sedemikian memerlukan kelulusan rasmi Jordan, tetapi pada asasnya, ia merupakan inisiatif yang diberkati,” katanya.

Katanya, beliau secara peribadi telah bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad di luar Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan.

“Saya berterima kasih kepada beliau atas sokongan Malaysia terhadap Palestin dan perjuangan negara ini untuk mendapatkan keadilan.

“Saya hargai pendirian dan kenyataan-kenyataan yang beliau sendiri lontarkan, sama ada di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau di tempat lain, semata-mata untuk menyokong isu Palestin. Begitu juga kritikan-kritikannya terhadap negara penceroboh (Israel),” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Dr Mahathir mengenai isu itu mencerminkan kepimpinan yang berani dengan visi yang komited dalam menyokong perjuangan Palestin.

Menurutnya, Dr Mahathir tidak gentar dengan ancaman dan tekanan oleh beberapa kuasa dunia.

Terdahulu, perdana menteri mengumumkan akan membuka kedutaan untuk Palestin bagi membolehkan Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah.

Pengumuman itu dibuat di depan para pemimpin dan wakil 120 negara anggota NAM yang menghadiri edisi ke-18 sidang kemuncak badan tersebut di Baku pada Jumaat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS