Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TI-M: Bayar cukai pada LHDN bukan alasan elak isytihar harta

Bayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak sepatutnya menjadi alasan di kalangan anggota parlimen pembangkang untuk mengelak pengisytiharan harta, kata Transparency International Malaysia (TI-M).

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohad berkata demikian bagi mengulas keenganan anggota parlimen BN dan PAS mengisytiharkan harta mereka disebabkan telah membayar cukai.

“Alasan sesetengah pemimpin politik bahawa mereka telah mengisytiharkan cukai kepada LHDN, jadi tidak perlu isytiharkan nilai harta adalah kurang tepat.

“Ini kerana cukai yang diisytiharkan adalah dari pendapatan yang diterima, bukan nilai harta.

“Jadi sebagai seorang pemimpin politik, Transparency International Malaysia ingin menasihatkan sama ada dari pihak pemerintah atau pembangkang supaya mereka telus dalam perkara ini dan jangan beri alasan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan anggota Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno bahawa gabungan pembangkang telah membuat keputusan untuk enggan mematuhi peraturan itu sejak Julai lalu.

Jalaluddin berkata usul pengisytiharan harta di kalangan ahli parlimen itu tidak mengikut undang-undang dan mengancam keselamatan keluarga anggota parlimen serta bayaran cukai telah dilakukan kepada LHDN.

Tambahnya, tiada sebab untuk mereka mengisytiharkan aset masing-masing kepada speaker Dewan Rakyat kerana parti itu bukan menjadi kerajaan.

Muhammad berkata, seseorang wakil rakyat seharusnya bersikap telus kerana meskipun mereka berada dalam barisan pembangkang, rakyat berhak mengetahui nilai harta wakil rakyat mereka.

“Ada beberapa kes di mana pemimpin politik didapati mempunyai nilai harta yang tidak bersamaan dengan gaji atau elaun mereka terima sebagai wakil rakyat.

“Kami juga ingin mencadangkan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya dapat membentuk satu draf undang-undang yang akan menyebabkan pengisytiharan harta di kalangan pemimpin politik sebagai mandatori dengan segera,” katanya.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu meluluskan usul mewajibkan semua anggota parlimen mengisytiharkan aset masing-masing namun ditolak pembangkang semasa perbahasan.

Bagaimanapun, semasa proses pengundian bagi usul tersebut, pembangkang tidak menyatakan bantahan.

Lihat Komen
ADS