Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M setuju isu peralihan kuasa dibincang dalam majlis presiden PH

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bersetuju jika isu peralihan jawatan perdana menteri dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

"Kalau nak bincang, boleh bincang dalam majlis presiden," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail tentang kesediaannya untuk berbincang peralihan jawatan perdana menteri menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.

Dr Mahathir berkata beliau bersetuju berbuat demikian kerana dalam Majlis Presiden PH itulah cadangan untuk melantik para pemimpin PH dibuat dahulu.

"...dan juga kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cadangan saya jadi pengerusi, dan bakal perdana menteri," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Baku, Azerbaijan sebelum berangkat ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari.

Dr Mahathir, yang berada di sana untuk Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18, yang berakhir hari ini, berkata beliau bersetuju jika ada pihak yang mahu membincangkan isu itu.

Dr Wan Azizah, yang juga presiden PH, dilaporkan sebagai berkata demikian ketika diminta mengulas ​​​​​​​kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin PH.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata memang soal peralihan kuasa ​​​​​​​disebut ketika perjanjian awal antara empat pemimpin melibatkan beliau, Dr Wan Azizah (ketika itu Presiden PKR), Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

-Bernama

Lihat Komen
ADS