Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan telah lengkap, tak perlu tahan suspek LTTE lagi - Ramkarpal
Diterbitkan:  Oct 27, 2019 6:33 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata tidak ada keperluan untuk terus menahan 12 individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Beliau berkata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Memandangkan perkara ini, tidak ada keperluan untuk tahanan dilanjutkan walaupun mereka ditahan reman selama 28 hari di bawah Sosma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sekiranya Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa mereka, Ramkarpal juga menyarankan supaya mereka dibenarkan diikat jamin.

"Tidak syak lagi, mereka boleh didakwa bagi suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang dibaca dengan Sosma di mana jaminan boleh ditolak.

"Saya, bagaimanapun, menggesa Peguam Negara mendakwa mereka mengikut Kanun Prosedur Jenayah dan menawarkan ikat jamin jika dia berpendapat terdapat bukti yang mencukupi terhadap mereka kerana menolak untuk ikat jamin tiada gunanya kerana mereka hanya disyaki melakukan suatu kesalahan pada peringkat ini.

"Tambahan pula, dua daripada tahanan adalah wakil rakyat dan menafikan mereka diikat jamin sementara menunggu perbicaraan akan menyebabkan mereka tidak dapat berkhidmat kepada pengundi mereka," katanya.

Ramkarpal, yang juga seorang peguam mengulangi gesaan supaya Sosma dimansuhkan.

Antara mereka yang ditahan di bawah Sosma termasuk bekas dan ahli-ahli DAP, PKR dan PAS. Ia termasuk Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran dan Adun Gadek, G Saminathan.

LTTE yang berjuang menentang kerajaan Sri Lanka untuk memerdekan wilayah majoriti etnik Tamil ditewaskan oleh pihak berkuasa negara itu pada tahun 2009.

Perjuangan LTTE menerima simpati daripada masyarakat Tamil di seluruh dunia tetapi kumpulan itu dianggap oleh Malaysia dan beberapa negara lain sebagai organisasi pengganas.

Lihat Komen
ADS