Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Cameron Highlands akan temui komuniti Orang Asli seluruh negara

Anggota Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor mengambil langkah keluar dari kawasannya dan memulakan siri lawatan ke perkampungan Orang Asli seluruh negara.

Ramli berkata ia untuk mendekatkan diri dengan masyarakat itu, memahami isu-isu yang dihadapi mereka untuk dan membawa suara mereka ke Parlimen.

“Mulai sekarang, saya tidak hanya menumpukan perhatian kepada komuniti Orang Asli di Cameron Highland, kerana sebagai Orang Asli sendiri, saya juga mewakili komuniti ini di seluruh negara.

"Saya akan mengadakan siri lawatan untuk bertemu Tok Batin, Penghulu dan seluruh komuniti Orang Asli,” katanya kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, Ramli bertemu dengan komuniti Orang Asli di Sungai Siput dan Tanjung Malim di Perak.

Pada hujung minggu pula beliau ke Bera dan Bentong, Pahang serta Kampung Orang Asli Serigala di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Kelantan juga termasuk dalam senarai yang akan dilawatinya.

“Saya akan memantau kebajikan mereka dalam aspek ekonomi, sosial dan insfratruktur seperti jalan raya, elektrik, bekalan air bersih dan perumahan.

"Saya juga akan melihat isu pendidikan yang diberi kepada mereka. Ini adalah keutamaan. Apa yang kurang, saya akan senaraikan dan bawa itu tersebut ke Parlimen," katanya lagi.

Ahli parlimen BN itu berkata lagi, program tersebut penting untuk semak dan imbang dan memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan tugas mereka dalam menjaga kebajikan Orang Asli.

“(Kerajaan) kata mereka akan jaga Orang Asli. Matlamat saya untuk memantau agar kerajaan buat kerja dan bukan sekadar retorik," katanya.

Ramli yang juga bekas pegawai kanan polis adalah Orang Asli pertama yang menjadi anggota parlimen selepas menang PRK Cameron Highlands pada Januari lalu.

Pada Ogos lalu, beliau mendakwa kerajaan gagal membayar pengendali bas yang ditugaskan untuk menghantar kanak-kanak Orang Asli di Cameron Highlands untuk ke sekolah selama lima bulan – yang menyebabkan peningkatan keciciran anak Orang Asli dalam pendidikan.

"Impak kemungkinan perkhidmatan ini diberhentikan berpunca daripada kegagalan pihak Jakoa dan Jabatan perdana Menteri tidak membuat bayaran upah bagi anak-anak Orang Asli ke sekolah di kawasan Cameron Highlands dan seluruh negara akan menyebabkan anak-anak Orang Asli gagal ke sekolah," katanya.

Beliau juga pernah menyeru kerajaan untuk memulakan inkues bagi menyiasat punca kematian 15 Orang Asli dari komuniti Bateq di Kampung Kuala Koh, Kelantan.

Beliau juga berkata menteri juga memberi jawapan acuh tak acuh terhadap soalannya di Dewan Rakyat, dengan berkata "menteri memberi jawapan standard rendah" untuk soalannya berkenaan isu Kuala Koh.

Berkenaan isu yang dihadapi Orang Asli pada masa ini, Ramli berkata "tahap kebajikan mereka merosot".

“Tiada lagi seragam sekolah percuma untuk pelajar tingkatan satu dan dua, tiada lagi bas sekolah untuk pelajar dan malah wang saku harian RM2 untuk pelajar dihentikan.

“Bantuan Sara Hidup (BSH) memerlukan pasangan mengemukakan sijil perkahwinan. Masalahnya kebanyakan mereka (Orang Asli) tiada sijil seperti itu, maka tiada BSH untuk mereka,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS