Malaysiakini
BERITA

Gerakan umum calon PRK Tanjung Piai esok

Bernama

Diterbitkan

PRK TANJUNG PIAI | Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan mengumumkan calon yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Kuala Lumpur, esok.

Mengesahkan perkara itu, Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata calon itu adalah kelahiran negeri ini.

“Esok kita akan adakan satu pengumuman calon di ibu pejabat Kuala Lumpur, memandangkan hari ini banyak calon akan diumumkan oleh parti lain.

“Tumpuan kita adalah esok, calon pula adalah orang Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan (PRK) Tanjung Piai di Jalan Utama dekat Pekan Nenas di Pontian hari ini.

Lau berkata Gerakan komited untuk bertanding di Tanjung Piai dan berharap agar pengundi memberikan peluang dan mandat kepada partinya itu.

“Inilah masanya untuk pilihan alternatif bagi rakyat. Jadi, kami benar-benar berharap… tenaga Gerakan akan bermula di sini di Tanjung Piai,” katanya.

Ketika ditanya keyakinan Gerakan untuk menang PRK ini, beliau percaya parti itu mampu meraih kemenangan sendiri.

“Kenapa tidak, jika anda masih ingat bila kita memulakan Gerakan pada 1968 dan 1969, kami bertanding dalam Pilihan Raya di bawah bendera Gerakan dan menang di Pulau Pinang.

“Jadi jika sejarah berulang sekali lagi, ia boleh berlaku terutama apabila anda melihat kepada situasi dan prestasi semasa Pakatan Harapan dan BN,” katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.