Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Perak, Johor meningkat
Diterbitkan:  Oct 28, 2019 10:11 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Seramai 550 penduduk daripada 150 keluarga di Perak ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 508 orang daripada 125 keluarga petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri dipetik Bernama berkata daerah Hilir Perak mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 326 mangsa membabitkan 83 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS, setakat pukul 8 malam tadi.

Terdapat 204 mangsa daripada 50 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap (83 mangsa, 21 keluarga) dan SK Dato' Yahya Subban (39 mangsa, 12 keluarga).

Seramai 188 lagi mangsa banjir daripada 48 keluarga di daerah Kerian berada di dua PPS iaitu SK Changkat Lobak (149 mangsa, 35 keluarga), manakala seramai 39 mangsa daripada 13 keluarga di Dewan Parit Haji Aman, kata jurucakap bomba.

Menurutnya lagi, 36 penduduk daripada 19 keluarga pula masih berada di Dewan Serbaguna Kampung Haji Tahir susulan banjir di Tapah dalam daerah Batang Padang.

Di Johor, dilaporkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 482 mangsa dari 118 keluarga setakat pukul 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon dipetik Bernama berkata mangsa yang terjejas berikutan hujan lebat berterusan masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang mana empat daripadanya di daerah Kluang, dua di Kulai dan masing-masing satu di daerah Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.

"Sebuah PPS iaitu Dewan Parit Hassan telah ditutup pada pukul 8 malam tadi berikutan lima mangsa daripada sebuah keluarga dibenarkan pulang ke rumah.

"Bagaimanapun, sebuah lagi PPS baru dibuka di Kulai, iaitu Surau Kampung Sungai Siam yang menempatkan 46 mangsa daripada 10 keluarga, pukul 4 petang tadi," katanya.

Di Pulau Pinang pula, Pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Tasek Junjong yang menempatkan 31 mangsa banjir daripada lima keluarga sehingga petang tadi, telah ditutup sepenuhnya menjelang malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh dilaporkan Bernama berkata semua mereka telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas paras air menyurut.

"Manakala di PPS Dewan Rukun Tetangga Taman Suria Aman pula sudah tiada mangsa banjir kerana mereka balik ke rumah masing-masing namun PPS itu masih belum ditutup lagi dan dalam keadaan bersiap sedia jika kediaman di kawasan tersebut dilanda banjir kilat," katanya malam ini.

Bagaimanapun, katanya setakat pukul 9 malam ini, 78 mangsa banjir daripada 19 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 124 orang daripada 32 keluarga di lima PPS petang tadi.

"Selain pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut ditempatkan di PPS bagi membantu mangsa-mangsa banjir," jelasnya.

Menurutnya lagi, pihak bomba turut membantu membuat rondaan bagi memberi bantuan segera kepada penduduk di kawasan rendah yang rumah mereka dilanda banjir kilat jika berlaku hujan lebat lebih dua jam.

Lihat Komen
ADS