Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: K'jaan iktiraf ahli akademik harumkan nama negara

Kerajaan sememangnya mengiktiraf ahli akademik yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dalam pelbagai bidang ilmu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Dengan pengiktirafan melalui anugerah ini, ia diharap akan menggalakkan kesarjanaan di kalangan ahli-ahli akademik kita.

"...Dan seterusnya menjadi perangsang kepada mereka untuk memartabatkan pendidikan tinggi negara," katanya ketika berucap di majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-13 di sebuah hotel di Seri Kembangan, Selangor hari ini.

Anugerah pada tahun ini diberikan kepada pendidik dan pakar pemulihan alam sekitar Dr Zakri Abdul Hamid.

Beliau pernah menjadi penasihat sains kepada perdana menteri ketika pentadbiran sebelum ini, serta sebahagian daripada Majlis Penasihat Saintifik Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 24 Oktober lalu, Dr Zakri turut memenangi anugerah daripada PBB atas sumbangannya dalam pelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.

Selain itu beberapa penghargaan lagi diberikan antaranya Anugerah Ahli Akademik Harapan, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Seni dan Kreativiti, dan Anugerah Pengajaran, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk

Mahathir berkata para penerima anugerah malam ini perlu menjadi contoh kepada ahli akademik lain untuk terus mempertingkatkan kepakaran masing-masing, melangkaui peringkat ijazah doktor falsafah.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia boleh berbanggda dengan kejayaan menyediakan pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat global walau "masih banyak ruang untuk diperbaiki".

"Insititusi pendidikan tinggi di Malaysia telah mencapai kedudukan yang kukuh dikalangan penyedia pendidikan tinggi dunia. Malaysia kini merupakan antara destinasi pilihan utama untuk pelajar antarabangsa," katanya lagi.

Turut hadir di majlis itu ialah isteri perdana menteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan Dr Siti Hamisah Tapsir.

Lihat Komen
ADS