Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk meneliti model baru bagi menggantikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata ia selepas sesi rundingan meja bulat berkenaan isu itu antara lain mendapati model pembiayaan pelajaran PTPTN bermasalah dan tidak mapan.

"PTPTN telah mengadakan sesi (seperti) perbincangan meja bulat, bengkel, mesyuarat dengan pelbagai pihak sejak Disember 2018 hingga Mac 2019. Pelbagai idea dan pandangan dibentang menerusi kertas konsultasi rakyat yang dibuat pada 16 Mei hingga 13 Jun 2019.

"Hasil rundingan, didapati model PTPTN ini bermasalah dan tidak mapan...Oleh itu kementerian akan menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti model baru bagi menggantikannya," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat malam ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata kajian mendapati kebanyakan peminjam PTPTN masih dalam kategori B40 (68 peratus) dan secara keseluruhan, kira-kira 51 peratus peminjam berdepan masalah untuk membuat bayaran balik.

"Kerajaan komited untuk membantu mereka, justeru PTPTN kini sedang membuat kajian untuk mengenal pasti faktor masalah pembayaran agar kita boleh bantu mereka dengan mekanisme yang lebih tepat," katanya lagi.

Pendidikan tinggi percuma

Dalam penggulungannya, Maszlee juga berkata kerajaan menimbang cadangan untuk memberikan pendidikan tinggi percuma sepenuhnya "agar dapat mengurangkan beban rakyat untuk mendapatkan hak pendidikan".

Katanya, pendidikan rendah dan menengah sememangnya diberi percuma, sementara pelajar di universiti awam hanya membayar 10 peratus daripada kos operasi.

Maszlee Malik

"(Tetapi) ia tidak boleh terus dilaksanakan dalam masa yang singkat kerana implikasi kewangan yang besar terhadap kerajaan, dan melibatkan kelestarian institusi pendidikan pada masa akan datang," kata bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Ketika penggulungan Maszlee, beberapa anggota parlimen pembangkang cuba mencelah namun beliau tidak memberi laluan dan meneruskan perbahasannya.

Ia menyebabkan sejumlahnya bangun, antaranya Noh Omar (BN-Tanjung Karang), Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) and Ismail Sabri (BN-Bera), dan membantah tindakan itu, menyebabkan perbahasan Maszlee ditenggelami suara mereka.

Ia berterusan selama kira-kira 15 minit sebelum beberapa anggota parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat.

"YB tidak mahu beri laluan untuk kita meminta penjelasan, ini tidak pernah berlaku dalam sejarah menteri. Bila menteri memberi penggulungan, dia biasanya akan beri kita (laluan) untuk bertanya penjelasan.

"Sama ada dia nak jawab atau tidak, dia tetap beri kita peluang untuk tanya, dan dia kena jawab setakat yang boleh. Biasanya kalau tak boleh jawab, dia akan beri jawapan secara bertulis.

"Tapi ini dia (Maszlee) teruskan saja, tidak benarkan (anggota parlimen mencelah)," kata Ismail Sabri kepada pemberita di lobi Parlimen selepas itu.

Memandangkan Maszlee enggan memberi laluan, beliau berkata tiada sebab untuk mereka terus berada di situ dan "dengar dia ceramah".

Lihat Komen
ADS