Rais: YB boleh pakai pakaian alternatif di Parlimen
Kontroversi pakaian alternatif di Dewan Rakyat baru-baru ini berakhir - wakil rakyat dan senator dibenarkan memakai samaada baju berkolar Melayu, Mandarin atau Nehru dengan kot.
Kontroversi pakaian alternatif di Dewan Rakyat baru-baru ini berakhir - wakil rakyat dan senator dibenarkan memakai samaada baju berkolar Melayu, Mandarin atau Nehru dengan kot.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Pejabat Peguam Negara telah memaklumkan kepadanya peraturan mesyuarat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak perlu dipinda bagi membolehkan anggotanya memakai pakaian alternatif.
Menurut Dr. Rais, Perkara 44 (1) Peraturan Mesyuarat membenarkan Speaker Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara menggunakan kuasa budi bicaranya membenarkan anggota memilih pakaian selain daripada "lounge suit".
"Ia adalah satu berita baik dan saya sendiri akan menyampaikan surat dari Peguam Negara itu kepada Speaker Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara sendiri," kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Jelebu di Simpang Pertang, dekat Jelebu.
Katanya, pandangan Peguam Negara itu juga akan dipanjangkan kepada anggota Parlimen dan Senator.
Dr Rais berkata pakaian alternatif adalah pilihan dan bukan paksaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sudah mengedarkan surat berkenaan perkara itu kepada pegawai dan anggota kerajaan dua hari lepas.
Isu berpakaian itu tercetus apabila Dr Rais mengenakan pakaian alternatif semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat, Khamis lepas. Beliau tampil berpakaian baju kemeja tanpa kolar berwarna hitam dan berbutang warna emas hingga ke leher dengan kot dan seluar hitam.
Penampilan Dr Rais itu ditegur oleh Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Shahrir Samad (BN-Johor Baharu) yang menyatakan pakaian itu melanggar peraturan dewan.
Sementara itu, Dr Rais berkata kementerian itu juga akan mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan kakitangan kerajaan memakai pakaian batik ke pejabat setiap hari Isnin.
Cadangan itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet dua minggu lagi, katanya.

