Pekedai telefon miliki video lucah didenda lebih RM8,000
Gara-gara memiliki 55 video lucah di dalam telefon bimbitnya, seorang pemilik kedai telefon didenda RM8,250 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Majistret Nur Farahain Razlan menjatuhkan hukuman itu terhadap See Foo Hoong, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran kopitiam di Bandar Baru Seri Petaling pada 12.30 tengah hari, 25 Okt 2018.
Ketika ditanya Nur Farahain adakah video tersebut untuk dirinya atau untuk dijual, tertuduh menjawab ianya untuk dirinya sendiri.
See didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Zameri, memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam KT Tang merayu hukuman berbentuk denda atas alasan dia menanggung isteri serta dua anak.
- Bernama

