Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tindakan PAS menyokong calon BN daripada MCA bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai bukan sesuatu yang aneh sebagai parti "penunggang agama", kata Naib Presiden Amanah, Senator Husam Musa.

Menurutnya, sudah terbukti PAS bukan parti agama seperti dipercayai penyokong mereka sebaliknya hanyalah parti politik.

"Terbukti PAS hanya sebuah parti politik yang menunggang agama dan boleh menukar pendirian dalam sekelip mata sahaja.

"Jadi tidak pelik jika PAS boleh menelan ludahnya sendiri," katanya kepada media selepas merasmikan Bengkel Kepimpinan Sahabat Wilayah Kelantan Utara 2019 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sokongan PAS terhadap calon BN, Wee Jeck Seng yang diangkat menjadi calon PRK tersebut.

Kempen-kempen PAS dalam pilihan raya sebelum ini dilihat sering mengajak pengundi memilih calon Melayu Muslim.

Ketika berkempen untuk calon BN PRK Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor pada 25 Jan lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menasihatkan pengundi khususnya yang beragama Islam wajib memilih calon yang beriman.

Ramli ketika itu berdepan calon PH, M Manogaran dari DAP.

Sementara itu Husam yang juga pengerusi PH Kelantan menegaskan bahawa PAS tidak pernah rasa malu walaupun sentiasa menukar pendirian dengan menggunakan (alasan) agama.

"PAS hanya parti politik yang menggunakan agama. PAS tidak pernah rasa malu dan mereka boleh menukar pendirian walaupun akhirnya termakan kepada diri mereka sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS