Padi hibrid pertama yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dinamakan sebagai Kadaria 1.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub ketika melancar dan menamakan padi hibrid itu bersempena majlis Sambutan 50 Tahun MARDI di Serdang hari ini berkata ia merupakan pencapaian terbaik MARDI setakat ini dan sesuatu yang dinanti-nantikan para pesawah.

"Padi hibrid ini telah terbukti dapat menghasilkan tujuh hingga lapan metrik tan sehektar,” katanya, di mana penemuan itu adalah hasil penanaman padi tersebut di Ladang Merdeka Mulong, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata kementerian juga akan menggalakkan para pesawah untuk menanam padi Kadaria 1.

Dalam sidang media selepas majlis Sambutan 50 Tahun MARDI itu, Salahuddin berkata sebahagian besar peruntukan RM43 juta di bawah pembangunan Industri Pertanian 4.0 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 akan dimanfaatkan oleh para saintis di MARDI.

Beliau berkata peruntukan itu akan membolehkan MARDI menjalankan penyelidikan menghasilkan dan mengeluarkan benih atau baka baharu di sektor agromakanan.

"Mereka (saintis MARDI) saya akan pastikan tiada halangan untuk terus berkarya dan menghasilkan kajian mereka. Yang penting bagaimana kita memikirkan menghasilkan kajian itu dapat cepat dikomersialkan," katanya.

Pada majlis itu, Salahuddin turut melancarkan Buku 50 Tahun Menabur Bakti dan Pelan Strategik Korporat MARDI 2021-2030. Turut hadir Ketua Pengarah MARDI Datuk Mohamad Roff Mohd Noor.

- Bernama