Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS cuma sediakan calon 'standby' di Tanjung Piai
Diterbitkan:  Oct 31, 2019 6:15 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

PRK TG PIAI | Tidak ada calon simpanan, cuma calon standby - itu ditegaskan PAS menjelang hari penamaan calon yang dijadual diadakan pada Sabtu ini.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu tidak akan meletakkan calon untuk merebut kerusi yang kosong ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Md Farid Md Rafik pada 21 Sept lalu.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim mengakui PAS menyediakan calon yang akan dikemukakan jika berlaku "apa-apa kes" pada calon MCA yang diputuskan mewakili pembangkang nanti.

“Tidak timbul calon simpanan. PAS sudah menjelaskan bahawa tidak akan meletakkan calon dan calon simpanan tiada istilah dalam pilihan raya.

“Cuma yang beraku ialah kita standby sekiranya berlaku apa-apa kes kepada calon BN,” katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Semalam media melaporkan, PAS Johor diarah menyediakan calon sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan wakil pembangkang bermasalah untuk bertanding menghadapi PH.


Baca Pengundi mahukan calon Melayu di Tg Piai, kata Annuar


Memetik kenyataan sumber yang tidak didedahkan, BH Online melaporkan, PAS berbuat demikian sebagai persediaan jika berlaku perkara di luar jangkaan seperti pencalonan pembangkang ditolak.

Kata sumber itu, PAS diminta kepemimpinan parti mengambil "langkah berjaga-jaga".

Tambahnya PAS sudah mengenal pasti anggota parti itu yang dirasakan layak serta berwibawa untuk dicalonkan bagi merebut tempat kerusi parlimen Tanjung Piai jika keadaan memerlukan.

BN malam tadi mengumumkan Wee Jeck Seng sebagai pertaruhan mereka merampas kembali kerusi Tanjung Piai yang sebelum ini dimenangi PH.

Untuk rekod, lebih 50 peratus daripada pengundi di kawasan parlimen Tanjung Piai adalah Melayu.

PAS sudah menyatakan pendirian rasmi mereka untuk menyokong Wee dalam PRK kali ini.

Tuan Ibrahim berkata PAS menerima Wee sebagai calon mewakili pembangkang dan menghormati keputusan diambil BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 16 Nov, manakala pengundian awal dijalankan pada empat hari sebelum itu.

Lihat Komen
ADS