Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Projek Rapid Transit System (RTS) Link yang dijangka menghubungkan Johor dan Singapura akan diteruskan dengan penjimatan kos sebanyak 36 peratus hasil kerjasama pemilik tanah, termasuk Sultan Johor.

Dalam kenyataan hari ini, kerajaan mengumumkan bahawa kos keseluruhan projek itu kini dianggarkan sebanyak RM3.16 bilion, berbanding RM4.93 bilion yang ditetapkan ketika pentadbiran BN.

Satu ciri penting di dalam struktur projek RTS Link yang telah disemak semula adalah mengenai penglibatan pemaju/pemilik tanah Bukit Chagar untuk membiayai dan membolehkan projek ini diteruskan dengan kos tanah yang dikecualikan.

"Digabungkan dengan kos pembinaan dan sistem rel yang dioptimumkan, kerajaan berjaya mencapai penjimatan ketara sekali gus menjadikannya lebih berdaya maju dari segi kewangan," kata kenyataan itu.

Langkah seterusnya bagi kerajaan Malaysia dan Singapura adalah perjanjian dua hala. Perjanjian dua hala sebelum ini ditandatangani pada jan 2018. Ia kemudian ditangguhkan untuk membolehkan Malaysia mencadangkan pengurangan kos.

Kenyataan itu diedarkan pada sidang media di Johor Bahru hari ini, yang dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Besar Johor Sahruddin Jamal dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Ketika diminta menjelaskan tentang kenyataan itu yang menyebut pemilik tanah Bukit Chagar akan "membiayai dan membolehkan" projek berkenaan, Dr Mahathir menyerahkan mikrofon kepada Loke yang seterusnya menjelaskan bahawa stesen RTS perlu dibina di atas tanah milik Sultan Johor.

"Tuanku baginda sudah memberi perkenan untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan supaya tanah itu dibina stesen RTS.

"Kita (kerajaan) akan menjalankan satu pendekatan private-financing initiative oleh syarikat yang terbabit dengan pembinaan projek. Maklumat lanjut akan diumumkan kemudian," katanya.

Ketika ditanya nilai tanah yang disumbangkan untuk projek RTS, Loke berkata: "RM800 juta hingga RM900 juta".

Katanya, selain daripada pemerolehan tanah, penjimatan dapat dicapai melalui kejuruteraan dan rekaan semula, sambil menambah bahawa perincian akan diumumkan selepas perjanjian dua hala ditandatangani.

Dalam laporan khas Malaysiakini pada Mei lalu, didedahkan bahawa Sultan Johor memperoleh pemilikan 4.5 hektar tanah di Bukit Chagar pada 19 Nov 2017.

Semakan tanah turut mendedahkan bahawa Sultan Johor memperoleh 2.4 hektar plot, yang sebenarnya merupakan kawasan laut, pada 17 Ogos 2014.

Ketika itu, dianggarkan 13 peratus daripada kos projek RTS adalah untuk pemilikan tanah.

Pada 4 Mei, istana Johor berkata Sultan Johor tidak maklum bahawa tanah milik baginda terlibat dalam projek RTS dan seterusnya mengumumkan bahawa baginda bersedia untuk memberikannya secara percuma.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS