Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Notis kutip semula dana 1MDB: Separuh minta masa lagi - Latheefa

Kira-kira separuh daripada 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) meminta diberikan masa untuk membayar kompaun selepas menerima notis pada 7 Oktober lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya ketika ditanya mengenai status terkini kompaun itu berkata terdapat kes penerima mahu membayarnya semula tetapi tidak mampu.

"Daripada 80 nama itu, kami menerima maklum balas separuh daripada mereka yang meminta diberikan masa lagi.

"(Terdapat juga kes) mereka ingin bayar tapi tak mampu bayar amaun yang kami tuntut dalam kompaun tersebut.

"Ada yang menyatakan bahawa walaupun mereka menjadi konduit (penyalur) pembayaran tersebut, tapi mereka bukan mendapat manfaat akhir.

"Jadi jika mereka sedia memberikan kami kerjasama untuk dapatkan siapa yang menerima (manfaat) akhirnya, maka kami akan pergi kepada berkenaan," kata Latheefa di Putrajaya malam ini.

Beliau berkata terdapat sekumpulan responden yang membuat laporan polis berkaitan tuntutan itu yang perlu disiasat oleh SPRM.

"Kami telah mengambil tindakan yang perlu. Berikan kami sedikit masa untuk membuat penyiasatan," katanya.

SPRM cuba mendapatkan RM420 juta menerusi 80 saman itu, termasuk daripada syarikat, individu, parti politik dan ahli politik.

Antara dituntut ialah bekas pengerusi CIMB Bank, Nazir Razak, yang didakwa menerima dan membelanjakan sebanyak RM25.7 juta.

Nazir ialah adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sedang dibicarakan kerana didakwa menggelapkan wang dari 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status siasatan SPRM mengenai laporan yang dibuat mengenai pemilihan PKR tahun lalu, Latheefa enggan mengulas.

Pemilihan PKR diadakan antara September dan November tahun lalu.

Beberapa ahli PKR telah disoal siasat pihak berkuasa berhubung pemilihan parti.

Pihak berkuasa juga telah melawat ibu pejabat PKR untuk menyiasat aduan ada sesuatu yang tidak kena mengenai keanggotaan parti itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS