Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kami bertanding bukan kerana BN letak calon Cina - Presiden Berjasa

PRK TG PIAI | Presiden Berjasa, Badhrulhisham Abdul Aziz membuat keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kerana percaya Melayu Islam mesti memimpin negara ini.

Bagaimanapun, beliau menafikan langkah itu sebagai perkauman dan menegaskan parti itu masih memerlukan sokongan bukan Melayu.

"Kita bertanding untuk bawa suara Melayu Islam di Tanjung Piai.

"Kami yakin kestabilan negara banyak bergantung sejauh mana Melayu dapat memimpin dan bersatu padu.

"Ini akan untungkan semua pihak termasuk bukan Melayu Islam. Tak ada istilah bermusuh dengan Cina, India," katanya.

Badhrulhisham berkata demikian pada sidang akhbar di Tanjung Piai hari ini.

Beliau berkata perjuangan parti itu berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak istimewa kepada orang Melayu, dan pada masa sama mempertahankan hak bukan Melayu.

Beliau berkata Berjasa akan menjelaskan kepada pengundi bukan Melayu di Tanjung Piai dalam usaha memenangi sokongan mereka.

"(Mereka) dengar atau tidak itu terpulang.

"Tetapi mereka kena akur dengan apa dipanggil kepimpinan Melayu Islam," katanya.

Badrulhisham  juga menegaskan bahawa beliau merupakan pilihan yang tepat jika pengundi bukan Melayu mahukan seorang anggota parlimen yang jujur dan berwibawa.

Hampir 58 peratus daripada pengundi Tanjung Piai terdiri daripada kaum Melayu, 41 peratus Cina dan satu peratus India.

Sebelum ini terdapat desakan agar Umno bertanding di kerusi itu tetapi BN memutuskan untuk meletakkan calon dari MCA, Wee Jeck Seng.

Keputusan ini mendorong Berjasa untuk bertanding pada PRK itu.

Yakin menang antara 1,000 hingga 2,500 majoriti

Bagaimanapun, Badhrulhisham menafikan dakwaan bahawa Berjasa menyertai PRK itu kerana BN meletakkan calon Cina.

"Kita bertanding bukan sebab calon Cina, tidak ye. Itu bukan perkara utama," jelasnya.

Menolak dakwaan bahawa Berjasa hanya akan memecahkan undi, beliau berkata perkara itu biasa berlaku dalam pertandingan banyak penjuru.

Beliau yakin sekiranya Berjasa boleh mendapat 80 peratus sokongan Melayu dan 10 peratus undi bukan Melayu, mereka boleh memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,500 undi.

Pada pilihan raya umum lepas, calon Berjasa, Nordin Ahmad bertanding di kerusi itu atas tiket PAS dan memperoleh 2962 undi.

Badrulhisham berkata dakwaan PAS bahawa undi penyokong parti itu akan beralih kepada MCA, hanyalah pendapat parti itu.

Beliau juga sekali lagi menegaskan keputusan bertanding di Tanjung Piai bukan bermakna parti itu tidak bersedia untuk bekerjasama dengan PAS atau Umno lagi.

Sebaliknya, beliau berkata mereka masih teguh di belakang Muafakat Nasional antara PAS dan Umno.

Badhrulhisham yang merupakan seorang jurutera kimia dipilih sebagai presiden Berjasa pada Disember 2018.

Beliau berkata keputusan bertanding di Tanjung Piai merupakan sebahagian daripada persiapan Berjasa untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Tambahnya, beliau beliau juga berhasrat untuk melihat Malaysia bebas daripada  'kronisme yang tidak berkesudahan'.

 

Lihat Komen
ADS