Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Satu dua 'ngok ngek' dalam PKR sudah tak relevan - Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu anggota parti itu agar mengabaikan segeintir pihak dalam parti itu yang disifatkan sudah tidak relevan.

Berucap pada Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan hari ini, Anwar berkata parti itu sebaliknya perlu menumpukan kepada agenda rakyat.

"Tumpu kepada agenda rakyat, satu dua ni ngok-ngek ngok-ngek ni biarlah, not relevant," katanya.

Walaupun tidak menamakan mana-mana individu, beliau dipercayai merujuk kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya.

Menyentuh konvensyen di empat negeri di Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan yang dihadirinya, Anwar merumuskan beliau mendapat 90 peratus sokongan akar umbi.

"Di Johor semalam semua cabang hadir, saya ke Pulau Pinang, Sabah, sambutan baik.

"Mana boleh (Sokongan) 100 percent, you ketua cabang, you pun tak 100 percent sokong, samalah saya presiden," katanya diiringi tepukan.

"Adakah ini satu masalah? Kamu ada 90 peratus sokongan (ahli akar umbi) parti dan pimpinan. Jadi sebab itu saya nak minta 90 percent tetapkan suara rakyat, suara Keadilan (PKR)," katanya.

Tanpa menyebutkan nama, Anwar juga mengingatkan pemimpin parti itu agar tidak lupa bahawa mereka dikenali dalam politik disebabkan PKR.

Pada sidang media kemudiannya, Anwar menjelaskan bahawa beliau hanya membuat peringatan itu secara umum kepada semua pemimpin parti.

"Itu peringatan, saya sendiri jadi presiden kerana dukungan ahli, bila saya pimpin kena fikir. Satu peringatan umum yang perlu difahami oleh semua pemimpin," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata terdapat menteri atau timbalan menteri dari PKR bertindak seperti menteri-menteri Umno.

"Menang (PRU) ini mulanya pelaksanaan tanggungjawab rakyat, tapi sesetengah kita fikir dah menang semua betul, kadang-kadang tengok jawapan-jawapan ni, aku tengok ish, macam menteri Umno.

"(Mereka kata) Kita semua faham dan perkara ni dah kita laksanakan, rakyat semua memang faham dan senang hati, rakyat mana yang senang hati?

"Patut kita dengar, ada rasa rendah diri untuk mengakui masalah," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan perlu memastikan keputusannya berhubung projek perumahan memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya pemaju perumahan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS