Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendaki wanita gagal turun gunung lepas cedera di kaki
Diterbitkan:  Nov 3, 2019 1:20 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Seorang pendaki wanita gagal menuruni gunung selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki semasa mendaki puncak gunung 701 yang merupakan puncak antara Gunung Tampin dengan Gunung Datuk, Rembau, awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata berdasarkan maklumat awal yang diterima, mangsa Nurjuliana Umar, 38, bersama 30 rakan pendaki lain mendaki gunung berkenaan pada pukul 5 pagi semalam, untuk merentasi beberapa gunung di situ sebelum sampai ke destinasi akhir di Gunung Datuk.

"Semasa mendaki, mangsa mengalami kecederaan di bahagian betis kiri setelah tergelincir pada kira-kira pukul 9 pagi.

"Bagaimanapun, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.47 malam kerana difahamkan ketika kejadian, tiada isyarat telefon dan beberapa masalah dalaman yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di Seremban, hari ini.

Katanya 11 anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Rembau telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sekarang masih usaha dalam menyelamatkan mangsa. Mangsa dijangka dibawa turun ke kaki gunung kira-kira 2 petang ini.

“Pihak bomba menggunakan laluan di Gunung Batu Maloi bagi memudahkan urusan menyelamatkan mangsa yang kini berada di laluan tengah antara Gunung Tampin dengan Gunung Datuk.

- Bernama

Lihat Komen
ADS