Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan Sharafuddin prihatin peruntukan Orang Asli di S'gor menurun
Diterbitkan:  Nov 3, 2019 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda mahu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mengkaji semula jumlah peruntukan yang diberikan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri berkenaan yang semakin berkurangan sejak 2017.

Sultan Selangor bertitah, baginda difahamkan peruntukan kewangan kepada Jakoa Selangor telah diturunkan setiap tahun mulai tahun 2017.

"Penurunan peruntukan berkenaan perlu dipandang serius oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri supaya dana yang mencukupi dapat digunakan untuk pembangunan masyarakat Orang Asli.

"Beta berharap agar kepentingan Orang Asli sentiasa dipelihara dan tumpuan harus diberikan kepada pembangunan asas masyarakat Orang Asli ini," titah baginda pada Majlis Perjumpaan antara Sultan Selangor bersama masyarakat Orang Asli Pulau Carey di Kampung Budaya Mah Meri, di Kuala Langat hari ini.

Mengiringi baginda ke perjumpaan berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar masyarakat Orang Asli memberikan perhatian terhadap pendidikan generasi muda mereka agar tidak tersisih daripada arus pembangunan di negeri Selangor.

"Beta menyeru kepada semua Tok Batin dan masyarakat Orang Asli supaya menghantar anak-anak mereka bersekolah, ini amat penting untuk pembangunan generasi masyarakat Orang Asli pada masa akan datang," titah baginda.

Disamping itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan agar masyarakat Orang Asli mengambil berat mengenai kesihatan dan kebersihan bagi memastikan tiada wabak penyakit berjangkit yang boleh membahayakan masyarakat.

"Dalam perkara ini beta harap Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan dapat bekerjasama bagi memastikan masyarakat Orang Asli berada dalam keadaan sihat dan persekitaran yang bersih," titah baginda.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapan aluannya berkata bagi tahun depan kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor bagi tujuan antaranya pembangunan modal insan, membaikpulih rumah dan projek pembangunan infrastruktur.

Tambahnya jawatankuasa berkenaan ditubuhkan pada tahun lepas selepas Jakoa Selangor mengatakan bahawa peruntukan kerajaan persekutuan bagi Orang Asli pada 2019 hanya bertumpu di Perak dan Pahang sahaja.

- Bernama

Lihat Komen
ADS