Exco harap peruntukan lebih besar untuk luar bandar di N Sembilan
Belanjawan Negeri Sembilan 2020 yang dijangka akan berlangsung hujung bulan ini diharap dapat memberi peruntukkan yang lebih besar kepada pembangunan luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Ismail Ahmad berkata terdapat banyak pembangunan dan kemajuan luar bandar yang perlu diberi keutamaan, dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar, seiring dengan kawasan bandar.
Justeru, dalam usaha menjadi negeri maju, perkara asas seperti pembinaan jalan yang baik, lampu jalan dan infrastruktur di kawasan luar bandar juga perlu diberi perhatian.
“Pembinaan industri yang berlaku di kawasan bandar sekarang ini diharap dapat dialihkan juga ke kawasan kampung, bagi membolehkan pembangunan seiring dalam usaha mengurangkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar.
"Ini penting bagi memastikan pembangunan di kawasan kampung juga tidak akan ketinggalan," katanya selepas merasmikan Perbincangan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pembuat-Pembuat dan Peniaga-Peniaga Perabot Negeri Sembilan, di Seremban hari ini.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Labu dalam pada itu berkata, projek perumahan mampu milik akan dibina dengan lebih banyak di kawasan luar bandar bagi membolehkan penduduk di kawasan kampung menikmati kediaman yang lebih selesa pada harga mampu milik.
Beliau juga berkata projek pertama Malaysian Vision Valley (MVV) 2.0 yang dijangka akan dimulakan April atau Jun tahun hadapan, akan dikendalikan pemaju, Sime Darby Berhad.
“Ini akan dijadikan sebagai pemangkin kepada pembangunan di kawasan Labu, selain mahu menarik lebih ramai pelabur melabur di kawasan MVV ini,” katanya.
Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan dijangka akan berlangsung pada 22, 25, 26 dan 27 Nov ini pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.
- Bernama

