Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN sedia maklum Malaysia antara tumpuan pengganas

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia maklum bahawa Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi pusat transit dan tumpuan kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, menterinya, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak tidak akan membiarkan sebarang unsur dan aktiviti keganasan berlaku di negara ini dan usaha bagi menangani isu itu masih berterusan.

“Kita memang tahu Malaysia antara negara tumpuan transit (Pengganas). Yang penting apa yang kita (kerajaan) lakukan di sini adalah untuk memastikan elemen ini tidak kita biarkan.

“Sebab itu dalam PDRM amat penting untuk menentukan jika berlaku dan terbukti mereka (Suspek pengganas) terlibat, kita ambil tindakan untuk menahan mereka,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Hari Keluarga KDN 2019 di MAEPS Serdang, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas disoal mengenai laporan kerajaan Amerika Syarikat mengenai keganasan pada tahun 2018 dan menyatakan Malaysia kekal sebagai negara tumpuan pengganas sebagai pusat sementara sebelum pulang ke negara asal.

Dalam laporan itu mengatakan, meskipun Malaysia belum berdepan dengan serangan pengganas, namun negara itu tetap menjadi sumber, tempat transit dan destinasi untuk kumpulan pengganas - termasuk kumpulan Negara Islam (IS), Kumpulan Abu Sayyaf, al-Qaedah dan Jemaah Islamiyah.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama Malaysia dengan negara Filipina dalam menangani isu keganasan, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah pencegahan.

“Kalau mereka datang tempat lain guna Malaysia sebagai pangkalan, kerjasama antara PDRM dan pasukan lain serta pihak negara jiran memang ada agar kita tahu siapa boleh keluar dan masuk negara,” katanya.

Berhubung beberapa kes penculikan yang berlaku di Sabah oleh warga Filipina, Muhyiddin berkata isu tersebut bukanlah satu perkara baharu - terdapat beberapa kes penculikan yang sudah diselesaikan malah masih ada (individu) yang ditahan.

“Masalahnya yang mencabar ialah kawasan sempadan (di Sabah) yang luas dan panjang. Kawasan kepulauan agak rapat sebab itu ada yang bersembunyi di pulau.

“Kita (sudah) tubuhkan pasukan Esscom dan Esszone, jadi langkah itu sejak dulu telah ada, kalau ada elemen seperti ini pihak berkuasa akan bertindak supaya yg terbabit dibawa ke pengadilan,” katanya.

Lihat Komen
ADS