Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR Tanjung Manis ditangguh selepas ahli fail injunksi

Pemilihan cabang PKR Tanjung Manis di Sarikei, Sawarak yang dijadual berjalan hari ini ditangguhkan selepas pemfailan injunksi susulan pembatalan pencalonan 12 individu.

Notis injunksi diserahkan kepada pembantu Setiausaha Agung PKR Nor Irwan Ahmat Nor dan ketua pengawas pemilihan pada pagi ini, sebaik sebelum ia sepatutnya dijalankan.

Irwan kemudian mengumumkan pemilihan ditangguhkan bagaimanapun tiada tarikh baru diberikan.

Injunksi itu yang dilihat Malaysiakini bertarikh 1 November dan difailkan Francis Bujang Anak Jelani, salah seorang daripada 12 calon yang dibatalkan pencalonan.

Sebelas lagi calon ialah Abang Aditajaya Abang Alwi, Mengkang Rangkong, Sulah Andien, Barnabas Untai Lucas, Emparie Dullah, Swak Jalik, Richard Panting, Rohayah Tambi, Allif Omar Yunus, Mohd Wahab Bujang dan Erni Salmi.

Francis mendakwa pembatalan pencalonannya adalah "pelanggaran keadilan" kerana dia dan sebelas lagi calon hanya diberi notis yang singkat berhubung kehilangan kelayakan mereka.

"Parti menetapkan penamaan calon pada 20 Oktober 2019. Saya melengkapkan prosedur rasmi dan membuat bayaran.

"Bagaimanapun pada 28 Oktober 2019, kawan saya memberitahu sepucuk surat oleh Nor Irwan memaklumkan saya salah seorang daripada 12 orang yang digugurkan.

"Surat daripada pembantu setiausaha agung itu tidak ditujukan kepada saya secara peribadi, tetapi untuk sekumpulan yang dinyatakan dalam senarai.

"Saya terkejut dan segera dapatkan nasihat perundangan. Saya percaya hak saya untuk menjadi calon termaktub dalam perlembagaan parti, maka pembatalan pencalonan saya tanpa saya dirujuk terlebih dahulu adalah pelanggaran keadilan," katanya yang ingin bertanding untuk jawatan anggota jawatankuasa, dalam kenyataan.

Injunksi itu antara lain mengarahkan pembantu setiausaha agung dan ketua pengawas agar tidak boleh menolak, menyekat atau menafikan 12 calon yang digugurkan, hak untuk bertanding dalam pemilihan PKR Tanjung Manis.

Pendengaran inter parte untuk injunksi itu ditetapkan pada 12 November ini.

Aditajaya

Sumber parti memberitahu Malaysiakini bahawa Aditajaya, yang sepatutnya bertanding jawatan ketua cabang, digugurkan kerana didakwa turut menjadi ahli Bersatu.

Bagaimanapun Malaysiakini melihat surat Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya kepada Setiausaha Agung PKR bertarikh 24 Oktober 2019 yang mengatakan Aditajaya telah keluar parti pada 17 September 2019.

Malaysiakini sudah menghubungi Aditajaya berkenaan perkara ini dan sedang menunggu maklum balasnya.

Sumber parti itu juga mendakwa Aditajaya sudah bekerja di peringkat akar umbi di Tanjung Manis dan dilihat condong ke arah kem timbalan presiden Azmin Ali.

Pesaing Aditajaya untuk jawatan itu ialah Raduan Serap.

Malaysiakini juga melihat surat bertarikh 21 Oktober oleh Aditajaya yang membuat bantahan rasmi kepada setiausaha agung PKR berkenaan pencalonan Raduan, atas dasar dia seorang penjawat awam.

Kerajaan sebelum ini berkata tiada rancangan untuk membenarkan penjawat awam memainkan peranan aktif dalam politik.

PKR Tanjung Manis menjalankan pemilihan pada masa ini kerana ia baru ditubuhkan sebagai cabang ke-222 PKR.

Parti itu berdepan isu kem dalam parti dengan sokongan terpecah antara Azmin dan presiden Anwar Ibrahim.

Pada 15 Oktober, kedua-duanya mengadakan pertemuan di Parlimen susulan gesaan untuk berdamai.

Lihat Komen
ADS