Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada istilah 'kuda tunggangan' dalam PH, kata Mat Sabu

PRK TG PIAI | Presiden Amanah Mohamad Sabu membangkitkan bagaimana mesej bernada perkauman yang menyasarkan Pakatan Harapan (PH) digunakan secara berbeza kepada orang Melayu dan Cina.

"Orang cina mengatakan DAP menjadi kuda tunggangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mereka tidak puas hati.

"Orang Melayu pula mengatakan kami orang Melayu menjadi tunggangan DAP," katanya pada sidang media ketika menghadiri majlis makan malam bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata dalam gabungan PH tiada istilah 'kuda tunggangan' dengan perbincangan bersama dibuat, sama ada di peringkat gabungan mahupun kerajaan persekutuan.

"(Dalam PH) kita berbincang, dalam kabinet kita berbicang satu keputusan bersama. Bukan siapa tunggangan siapa," katanya lagi, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan isu perkauman akan menjadi cabaran buat PH dalam PRK Tanjung Piai.

PRK Tanjung Piai bermula secara rasmi selepas penamaan calon semalam, manakala hari pembuangan undi ditetapkan pada 16 November.

Sebagai rekod Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52, 986 orang pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah pengundi Melayu, Cina (41.52 peratus atau 22,000 pengundi), India (satu peratus atau 532 pengundi) dan Bumiputera Sabah (0.09 peratus atau 47 pengundi).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu mengakui tidak mudah untuk PH mengekalkan kemenangan dalam PRK kali ini dan antara faktornya ialah isu perkauman.

"Isu perkauman memang akan menjejaskan (undi) orang Cina, (Mereka) mengatakan DAP jadi alat Dr Mahathir. (Kepada orang Melayu pula dikatakan) orang Melayu diperalat DAP.

"Rakyat dipengaruhi oleh isu perkauman," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata isu janji manifesto PRU ke-14 juga akan dimainkan walaupun ia untuk tempoh lima tahun dan telah banyak perkara yang dilaksanakan.

"Kita akui penerangan daripada pihak kami belum cukup diberikan kepada rakyat," katanya yang juga menteri pertahanan.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandang kawasan parlimen itu, Dr Mohd Farid Mohd Rafik dari Bersatu meninggal dunia pada 21 September lalu.

Pada PRU lalu, Mohd Farid menang dengan majoriti 524 undi dengan mendapat 21,255 undi, mengalahkan calon BN Wee Jeck Seng yang mendapat 20,731 undi, dan calon PAS Nordin Othman 2,962 undi.

Lihat Komen
ADS