DAP gesa PM jangan tunduk pada 'Little Napoleon'
Terjemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa jangan tunduk pada tekanan 'Little Napoleon' atau pihak-pihak yang suka berlagak dan melengah-lengahkan dasar kerajaan.
Terjemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa jangan tunduk pada tekanan 'Little Napoleon' atau pihak-pihak yang suka berlagak dan melengah-lengahkan dasar kerajaan.
Sambil menyebut antara 'Little Napoleon' yang kini telah menjadi "Napoleon besar" termasuklah Ketua Polis Negara , ketua pembangkang Lim Kit Siang menegaskan, Abdullah tidak boleh memerintah dengan berkesan jika 'Little Napoleon' seperti Tan Sri Mohd Bakri Omar terus dibiarkan menunjukkan contoh tidak baik kepada kakitangannya.
Dalam kenyataannya Lim berkata, ketua polis itu bersalah kerana membuka ruang kepada semua orang bawahannya memperlekehkan dan mempertikaikan kuasa Perdana Menteri, kabinet dan parlimen.
Bakri menarik perhatian umum baru-baru ini apabila beliau secara terbuka menentang cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang sebelum itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri.
IPCMC disyorkan penubuhannnya oleh Suruhajnaya Diraja Polis yang ditubuhkan oleh kerajaan pada hujung tahun lalu bagi menilai, memantau dan membaiki akauntibiliti pasukan polis dan mengembalikan keyakinan umum terhadapnya.
Minggu lalu Abdullah membidas kakitangan awam yang berlagak seperti 'Little Napoleon' kerana menyalahgunakan kuasa dengan melengah-lengahkan projek pembangunan negara.
"Kita tidak mahu 'Little Napoleon' dalam perkhidmatan Awam," katanya.
Menurut Lim lagi, kenyataan Abdullah mengenai 'Little Napoleon' dalam perkhidmatan awam disokong penuh oleh rakyat.
Katanya, Abdullah mesti bertindak segera dan tegas untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan awam dan kerajaannya.
"Jika Abdullah gagal menubuhkan IPCMC, ia akan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap janji-janjinya mahu melakukan perubahan dalam kerajaan," ujar ketua pembangkang itu.
"Cabaran terbesar Abdullah sekarang ialah mengembalikan kepercayaan rakyat bahawa dia adalah pemimpin kerajaan yang ada sekarang dan tidak mengetuai sebuah kerajaan yang dipenuhi 'Napoleon besar" dan 'Little Napoleon' yang mengganggu gugat kuasa Perdana Menteri, kabinet dan parliamen," tambah Lim. Berita asal

