Mahkamah koroner tangguh prosiding komital AG hingga keputusan rayuan
Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menangguhkan prosiding komital terhadapnya sehingga rayuan terhadap keputusan mahkamah itu yang membenarkan prosiding berkenaan dijalankan, dilupuskan di Mahkamah Tinggi.
Koroner Rofiah Mohamad berkata mahkamah membenarkan penangguhan permohonan prosiding komital yang difailkan oleh bapa Allahyarham Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada 25 November.
"Ini kerana saya berpandangan permohonan rayuan di mahkamah tinggi adalah penting.
"Selepas mahkamah pertimbangkan permohonan dalam affidavit dan hujahan difail oleh kedua-dua pihak, saya tidak dapat maklumat konkrit (berhubung rayuan prosiding komital)," katanya ketika membaca penghakimannya.
Beliau berkata demikian susulan permohonan responden, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy untuk menggantung pendengaran tersebut. Narkunavathy mewakili Thomas.
Koroner Rofiah berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat konkrit mengenai rayuan responden yang dianggap oleh mahkamah tinggi sebagai rayuan jenayah.
Menurutnya, beliau menganggap prosiding yang masih berjalan di mahkamah tinggi sangat substantif kerana jika mahkamah tinggi itu membenarkan rayuan berkenaan, ia akan memusnahkan asas kepada permohonan komital.
Rofiah berkata, jika mahkamah tinggi membenarkan notis untuk membatalkan rayuan peguam negara itu, prosiding komital boleh diteruskan. Sehubungan itu, beliau menetapkan 25 November untuk pengurusan kes komital itu.
Pada 16 Julai, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya, anggota bomba, Muhammad Adib, 24, yang cedera parah semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam permohonannya itu, dia mendakwa AG telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.
Ia bagi menuntut Thomas memohon maaf atas afidavit yang menyebut Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan, yang dikatakan jelas mengganggu prosiding inkues.
Pada 27 September, Mahkamah Koroner Shah Alam membuat keputusan bahawa Adib mati dipukul oleh dua hingga tiga individu yang tidak dikenali.






