Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bekas menteri, 2 bekas timb menteri disiasat isu dana Sedic'

Seorang bekas menteri dan dua bekas timbalan menteri sedang disiasat berhubung dana yang seharusnya disalurkan kepada masyarakat India, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy.

Waythamoorthy bagaimanapun tidak menamakan bekas menteri dan bekas timbalan menteri BN yang dikatakan mengambil dana daripada Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (Sedic)

"Memang benar apa yang dinyatakan bahawa terdapat rungutan berasas berhubung dana yang dikemukakan semasa pemerintahan BN dulu tidak sampai kepada golongan sasaran," katanya di Dewan Rakyat ketika sesi soal jawab hari ini.

"Bagaimanapun, dapat dinyatakan di sini bahawa tiada dana yang diberikan kepada parti MIC," katanya.

Waythamoorthy merujuk Laporan Ketua Audit 2018 yang mendapati jutaan ringgit yang disalurkan Sedic kepada ratusan NGO untuk kepentingan masyarakat India, telah disalah guna, termasuk bagi kepentingan peribadi pihak tertentu.

Sedic merupakan agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan BN untuk menyediakan geran dan bantuan kepada NGO yang menjalankan program untuk masyarakat India.

Sedic kemudian ditukar nama kepada Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

"Saya ingin nyatakan bahawa seperti saya katakan sebelum ini, terdapat salah laku dalam penyampaian dana-dana tersebut, atau sejumlah dana tertentu disampaikan terus kepada seorang bekas menteri, dua orang bekas timbalan menteri," katanya.

"Perkara ini masih dalam siasatan SPRM," tambahnya.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya sama ada dana berkenaan diberikan terus kepada MIC, dan bukannya kumpulan sasaran.

M Saravanan (BN-Tapah) sempat mencelah dan membidas Rayer kerana tuduhan dalam soalan yang dibangkitkannya.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS