Malaysiakini BERITA

Exco: Kutipan caj 20 sen beg plastik di pasar raya akan diserah pada PBT

Bernama

Diterbitkan

Kutipan caj 20 sen yang dikenakan ke atas penggunaan beg plastik di pasar raya di seluruh Selangor akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu, bermula 1 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian, berkata langkah itu bertujuan bagi memperkemas usaha mengurangkan penggunaan plastik di negeri ini.

"Dulu kita benarkan pasar raya kutip dengan harapan mereka buat program CSR (tanggungjawab sosial korporat) untuk pemuliharaan alam sekitar, tetapi kita dapati tidak semua pasar raya melaksanakannya.

Disebabkan itulah bermula tahun depan, PBT di seluruh Selangor akan melaksanakan sendiri kutipan caj 20 sen bagi penggunaan beg plastik di pasar raya dalam memastikan ia mencapai objektif dikehendaki," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Sehubungan itu, Hee berkata pihaknya akan membentang satu kertas kerja pada minggu depan berkaitan agihan caj kutipan tersebut dengan meletakkan satu klausa baru di dalam semua lesen perniagaan PBT.

Katanya menerusi klausa itu, PBT akan melaksanakan kutipan caj tersebut berdasarkan jumlah beg plastik yang dibeli oleh premis pasar raya berkenaan daripada pengilang.

"Sekiranya pasar raya gagal mematuhi peraturan berkenaan, PBT boleh mengeluarkan kompaun kepada pihak terlibat...dan wang kutipan caj 20 sen itu juga kita akan gunakan untuk melaksanakan program CSR melibatkan alam sekitar di negeri ini, " katanya.

-Bernama