Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak setuju Berjasa tanding di Tg Piai, akan kaji kerjasama

PAS hari ini mengakui parti itu tidak bersetuju dengan keputusan rakan sekutunya dalam Gagasan Sejahtera, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang mengambil ketetapan untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November ini.

Sehubungan itu, kata presidennya, Abdul Hadi Awang, mereka akan mengkaji hubungan dengan Berjasa.

"Kita tidak setuju dia (Presiden Berjasa) bertanding (PRK Tanjung Piai).

"(Jadi) kerjasama dengan Berjasa, itu kita akan kaji dari masa ke semasa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Abdul Hadi mengulas pencalonan Presiden Berjasa, Badhrulhisham Abdul Aziz dalam PRK Tanjung Piai.

Sabtu lalu, PAS secara terbuka melalui satu kenyataan media oleh setiausaha agungnya, mengarahkan semua ahli dan pengundi parti itu untuk menyokong calon BN dari MCA, Wee Jeck Seng.

Ini susulan penubuhan Muafakat Nasional antara PAS dan Umno yang dimeterai tahun ini.

Gagasan Sejahtera adalah blok kuasa ketiga dan diwujudkan pada 2016. Pakatan itu dianggotai PAS, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Pada hari pencalonan 2 November, Berjasa mengumumkan presidennya Badhrulhisham akan turut bertanding pada PRK itu.

Badhrulhisham kemudian memberitahu bahawa Berjasa mampu mengungguli persaingan dengan kelebihan antara 1,500 hingga 2,000 undi.

Beliau juga mendedahkan pada PRU ke-14 lalu, calon yang diturunkan PAS untuk bertanding di Tanjung Piai juga adalah ahli Berjasa.

'Tolak RUU pandangan peribadi'

Dalam pada itu, Hadi menyifatkan bantahan Wee terhadap Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355, sebagai pandangan peribadinya sahaja.

"Itu pandangan peribadi (Wee). Kita bekerjasama dengan parti," katanya tanpa menyatakan secara jelas beliau merujuk Umno atau MCA.

Walaupun PAS tiada hubungan rasmi dengan MCA, kerjasamanya dengan Umno menerusi Muafakat Nasional menyebabkan parti itu menggunakan pendekatan mesra dengan parti komponen BN.

Dalam wawancara di Tanjung Piai hari ini, Wee berkata pendirian MCA konsisten dalam membantah RUU355 tetapi menyifatkannya sebagai perkara lalu.

Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang berkata beliau akan ke Tanjung Piai Rabu ini, bagi membantu kempen BN.

“Saya akan turun (Tanjung Piai) Rabu ini. Dan ya, atas dasar Muafakat Nasional (saya) akan suruh undi BN dan MCA,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Pada PRU ke-14, Farid memenangi kerusi Parlimen itu apabila memperoleh 21,255 undi, menewaskan Wee yang mendapat 20,731 undi manakala calon PAS Nordin Othman pula meraih 2,962 undi.

Lihat Komen
ADS