Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Harap tiada salah faham calon PH kata syukur walau harga sawit rendah'

PRK TG PIAI | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berharap tiada yang salah faham dengan kenyataan calon PH Karmaine Sardini yang meminta pengundi bersyukur walaupun harga kelapa sawit yang rendah.

Menurut Muhyiddin, kenyataan Karmaine itu sebagai seorang beragama Islam yang dituntut untuk sentiasa bersyukur walaupun berdepan kesukaran.

"Dia cakap walaupun susah (dalam) Islam (perlu) bersyukur. Tetapi ia mungkin disalah tafsir apabila dia menyatakan kena bersyukur, (ia bermakna) bersyukur sebagai seorang Islam.

"(Apabila) kita jatuh miskin pun kita bersyukur. Saya harap ia tidak disalah erti," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Apa yang lebih penting, katanya lagi, langkah oleh kerajaan dalam membantu peladang kecil berdepan dengan harga kelapa sawit yang rendah.

"Harga sawit dan getah tidak naik dan ini bukan masalah di tanjung piai sahaja.

"Apa yang penting langkah yang kerajaan mahu buat (untuk menanganinya)," katanya.

Karmaine Sardini

Dalam satu ceramah semalam, Karmaine mengambil maklum akan rungutan berkenaan harga kelapa sawit yang turun serendah RM270 setiap satu tan tetapi mengingatkan keadaan pernah lebih buruk sebelum ini apabila harga kelapa sawit pernah jatuh kepada RM87 satu tan.

“Kita RM270 tu patut syukur sangat sebenarnya. (Harga) RM270 tu banyak, bukan sikit... banyak sebenarnya.

“Kalau ada kebun 10 ekar, (boleh) dapat lima tan paling tidak, lima tan darab RM270, dapat RM1,000 lebih.

“Duduk kampung apa sangat nak bayar? Nak makan sayur, tanam sendiri. Cuma yang perlu isi minyak. Benda ini kena syukur walaupun sedikit, kita masih dapat makan,” katanya.

Pembangkang kemudian menjadikan kenyataan itu dalam kritikannya terhadap Karmaine, antaranya Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan yang mencabarnya untuk menyara hidup dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

“Saya rasa ini mungkin antara akibat terlebih minum minyak sawit. Mereka sedang selesa di Putrajaya, rakyat pula diminta bersyukur," kata Zahida dalam satu hantaran di Facebook.

Karmaine bakal berdepan calon BN Wee Jeck Seng yang turut disokong PAS. Calon lain ialah Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) serta dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen bermula Sabtu lalu dan hari mengundi ditetapkan pada 16 November ini.


Lihat Komen
ADS