Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon Berjasa tak ambil hati Hadi kata mahu kaji semula kerjasama

Calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Badhrulhisham Abdul Aziz tidak ambil hati susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mahu mengkaji kembali kerjasama bersama parti tersebut.

Tegasnya, Berjasa masih mahu kekal dalam Gagasan Sejahtera bersama PAS.

“Beliau (Abdul Hadi) berhak ada pandangan tetapi kami dan kawan-kawan (Berjasa) tetap ambil keputusan untuk masih dalam Gagasan Sejahtera.

“Kami pun tidak terasa hati bila (Abdul Hadi) kata nak kaji kembali status dalam Gagasan Sejahtera,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah kedai makan Pontian hari ini.

Sebelum sesi bersama pemberita bermula, Badrulhisham dilihat menyapa rakyat yang sedang menjamu selera di kedai berkenaan.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pihaknya akan mengkaji hubungan dengan rakan sekutunya Berjasa.

Ini terjadi selepas Berjasa membuat keputusan untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pada 2 November lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga menjelaskan partinya tidak merestui Berjasa meletakkan calon dan mengarahkan semua ahli PAS untuk mengundi calon BN dari MCA, Wee Jeck Seng.

Gagasan Sejahtera adalah blok kuasa ketiga dan diwujudkan pada 2016.

Pakatan itu dianggotai PAS, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Sementara itu, Badrulhisham turut yakin bahawa hubungan partinya bersama PAS akan kembali kukuh selepas PRK berkenaan.

“Saya yakin kita dapat kukuhkan Gagasan Sejahtera lepas PRK nanti,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru. Selain Berjasa dan MCA, calon lain ialah Karmaine Sardini yang dari Bersatu yang dipertaruhkan PH, Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menetapkan tarikh mengundi pada 16 November manakala hari pengundian awal pada 12 Nov.

Lihat Komen
ADS