Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ganti Akta Hasutan dengan undang-undang tak boleh disalah guna - MP PH

PARLIMEN | Kerajaan perlu menggantikan Akta Hasutan dengan undang-undang yang tidak boleh disalahgunakan untuk menangani individu yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama di negara ini, gesa MP Jelutong (PH), RSN Rayer.

Beliau berkata demikian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy menyebut kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang sengaja menghasut sensitiviti kaum dan agama menerusi tindakan seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Kerajaan bercadang untuk menggunakan Akta Hasutan. Saya sedar sebagai seorang pengamal undang-undang, Akta Hasutan ini pernah disalahgunakan oleh kerajaan dahulu

"Saya berpendirian bahawa Akta Hasutan tidak sepatutnyanya digunakan kerana kita telah berjanji dalam manifesto bahawa undang-undang yang zalim dan disalahgunakan tidak akan digunakan.

"Jadi saya nak tanya, memang terdapat cadangan untuk satu undang-undang baru digubal di mana perkara-perkara itu telahpun dibincangkan oleh kerajaan dahulu.

"Adakah cadangan untuk kita memansuhkan Akta Hasutan tetapi sebelum itu, kita menggubal satu undang-undang baru yang akan menjaga aspirasi Akta Hasutan itu tapi memastikan bahawa tidak berlakunya salah guna kuasa, di mana kita lihat hanya individu-individu tertentu didakwa?" Soal Rayer ketika Waytha menggulung perbahasan Belanjawan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Jawab Waytha soalan itu perlu ditanyakan kepada Kementerian Dalam Negeri.

"Walaubagaimanapun memang saya bersetuju terdapat unsur-unsur dalam Akta Hasutan tersebut yang perlu dikekalkan yang saya percaya - ini bukan keputusan saya lah - mungkin diterapkan dalam Kanun Keseksaan dan sebagainya," kata menteri itu.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman berkata kerajaan sedang meneliti Akta Hasutan untuk memastikan bahawa jika ia dimansuhkan, kesalahan terhadap institusi kerajaan, kaum dan agama tetap dikekalkan.

Beliau berkata ini mungkin dilakukan dengan memasukkan kesalahan-kesalahan berkenaan ke dalam undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, walaupun ia juga mungkin dibuat dengan menggubal undang-undang baru.

Lihat Komen
ADS