Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembukaan Terminal Feri A'bangsa Kukup esok ditunda - MB Johor

PRK TG PIAI | Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal memohon maaf kerana terpaksa menunda pembukaan Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang dijadual esok.

Jelasnya, ini kerana kapal dari Malaysia masih tidak mendapat izin untuk berlabuh di Tanjung Balai Indonesia.

“Awalnya, saya ingin memohon maaf (terpaksa menunda) isu Terminal Feri Antarabangsa Kukup kerana kapal dari Malaysia masih belum dapat berlabuh di Indonesia Tanjung Balai.

“[...] akibat isu-isu syarikat yang lepas kerana syarikat lepas ada hutang RM3 juta lebih dengan kerajaan negeri dan juga negara Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peradin, Kampung Belokok, Teluk Kerang Johor hari ini.

Terdahulu, operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup telah dihentikan sementara pada 1 September lepas dan operasinya dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri.

Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, pada 1 November lalu, Bernama melaporkan bahawa terminal berkenaan dijadual akan dibuka kembali esok.

Selain itu, Sahruddin juga menjelaskan perbincangan akan dilakukan dengan pihak Indonesia bagi membincangkan hal tersebut.

“Dua ke tiga hari nanti akan ke sana (Indonesia) dan lihat dulu hasil perbincangan mereka kita akan pastikan secepatnya masalah ini selesai.

“Wallahuam kita akan pastikan secepatnya. Anda kalau tanya saya, esok juga nak buka sebab kita memang sudah boleh buka cuma tak boleh berlabuh,” katanya.

Untuk rekod, terminal tersebut menyediakan perjalanan feri ke Tanjung Balai di Pulau Karimun, Indonesia.

Sementara itu, ditanya pemberita berkenaan calon PH Karmaine Sardini (gambar, atas) yang sudah mengumumkan berkenaan pembukaan terminal pagi tadi, Sahruddin menjelaskan maklumat penangguhan itu baru saja diketahuinya petang tadi.

Jelasnya, Karmaine juga tidak mengetahui berkenaan penundaan tersebut.

“Saya ada mesyuarat Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) pukul 4.30 petang dan hasil mesyuarat kita baru dapat tahu jeti itu belum boleh beroperasi.

“Calon tidak tahu lagi sebab saya saja yang tahu,” katanya.

Pagi tadi, Karmaine dilaporkan berkata pembukaan terminal feri yang dijadual esok akan menghidupkan kembali Kukup.

Karmaine bakal berdepan calon BN Wee Jeck Seng yang turut disokong PAS. Calon lain ialah Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) serta dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen bermula Sabtu lalu dan hari mengundi ditetapkan pada 16 November ini.

 

Lihat Komen
ADS