Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LTTE: Pendakwaan batal rancangan hadapkan 2 pertuduhan baru pada adun DAP
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 9:51 AM
Dikemaskini: 7:10 AM

Pihak pendakwaan pada mulanya akan menghadapkan dua pendakwaan baru terhada Adun Seremban Jaya P Gunasekaran berhubung memiliki item berkaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bagaimanapun rancangan itu dibatalkan di saat akhir.

Peguam Gunasekaran, RSN Rayer memberitahu Malaysiakini bahawa pendakwaan membuat e-filing semalam untuk dua pendakwaan baru terhadap anak guamnya di Mahkamah Sesyen Seremban.

"Tetapi hari ini pendakwaan memaklumkan mereka tidak akan meneruskan pendakwaan itu.

"Jadi saya beritahu mereka cara yang betul adalah untuk menarik balik pendakwaan di mahkamah dan mereka memohon kepada hakim untuk menarik balik pendakwaan itu," katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan hakim Mahkamah Sesyen Madihah Harullah membenarkan permohonan yang dibuat DPP Aslinda Ahad.

Menurut dakwaan yang dibatalkan itu, adun DAP tersebut didakwa memiliki item berkaitan dengan LTTE di pejabat dan kediamannya di Seremban masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun Gunasekaran kekal ditahan kerana tidak dibenarkan ikat jamin untuk pendakwaan terdahulu.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana didakwa menyokong LTTE, selain pendakwaan tambahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober.

Sementara itu, Rayer ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan penghargaan kepada pihak pendakwaan kerana membatalkan pendakwaan baru itu.

"Kami berharap pihak pendakwa akan menimbang semula dan menarik balik tuduhan terhadap semua yang lain (yang ditahan di bawah Sosma yang berkaitan dengan LTTE)," katanya seperti dipetik.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran yang juga timbalan pengerusi DAP.

Lihat Komen
ADS