Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Zakat pada bukan Islam cuma pandangan saya, tak setuju tak apa’

Presiden PKR Anwar Ibrahim akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa wang hasil kutipan zakat di negeri itu hanya akan diagihkan kepada orang Islam.

Katanya, pandangan untuk memperluas bantuan zakat kepada bukan Islam sebelum ini dibuat bagi menunjukkan “keadilan, kasih sayang dan rahmat” Islam.

“Tetapi itu pandangan saya supaya perkara itu dikaji dan diteliti oleh mufti dan Majlis Agama untuk putuskan.

“Dan kalau tak bersetuju tak apa. Tapi saya menganjurkan wacana yang segar mengenai tajuk ini, kerana ada pandangan-pandangan yang berbeza.

“Tetapi kalau keputusan seperti mana yang dibuat oleh Selangor itu, kita patuh keputusan kerana ia dalam bidang kuasa Majlis Agama dan Sultan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam sebuah seminar zakat di Shah Alam minggu lepas, Anwar mencadangkan pembaharuan itu atas alasan dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia, tidak sesuai hanya masyarakat Islam dibantu, tetapi penganut agama lain dipinggirkan.

“Wang zakat ini dibayar oleh orang Islam, selesaikan masalah orang Islam dahulu. Itu adalah hujah yang benar, tetapi Islam juga adalah agama contoh, menjinakkan adalah satu strategi dakwah yang baik,” katanya.

Bekas aktivis Islam 70-an dan pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu menyandarkan hujahnya kepada pandangan ulama terkenal Yusuf al-Qaradawi, lapor Free Malaysia Today.

“Seperti contoh, katakanlah ada tiga keluarga yang berdekatan dibantu institusi zakat dan keluarga keempat itu adalah penganut Hindu, jadi bolehkah kita ketepikan?” soalnya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah 

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin bertitah bahawa wang hasil kutipan zakat di negeri itu hanya akan diagihkan kepada orang Islam.

Titah itu merujuk kepada kenyataan "dua mufti dan seorang ahli politik".

Pada 1 November lalu, Perlis meluluskan fatwa membolehkan zakat diberi kepada bukan Muslim bawah asnaf muallafah qulubuhum (golongan yang ingin diharmonikan sikap dan tanggapan mereka terhadap Islam).

Lihat Komen
ADS